Najib nasihat sabar, setia kepada parti − Noh akui masih penyokong kuat Bossku



KUALA SELANGOR – Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendedahkan pernah ditawarkan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) selepas namanya tidak tersenarai untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, tawaran itu diterima sejurus digugurkan menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tanjong Karang.

“Namun, saya menolak pelawaan itu dengan sekerasnya atas semangat setia dan sayangi UMNO.


“Saya adalah orang parti tetapi akhirnya saya pula yang dikenakan tindakan kerana mahu menegakkan kebenaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Aidilfitri Anak Yatim di Dewan Serbaguna Taman Seri Setia, Tanjong Karang di sini, hari ini.

Pada program anjuran The Law Chambers of Hedzril itu, beliau menyerahkan barangan keperluan asas dan wang tunai kepada 300 penerima termasuk golongan kurang berkemampuan.

Jelas Noh, beliau kini lebih selesa bersikap tunggu dan lihat mengenai hala tujunya dalam politik, namun mengakui masih menjadi penyokong kuat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


“Hubungan saya dengan Najib rapat dan sempat menemuinya di mahkamah selepas dipecat daripada UMNO. “Saya sempat bersalam dan berborak malah Najib menasihatkan supaya banyak bersabar serta tidak lari daripada parti,” ujarnya.

Tambah Noh yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, beliau berharap tiada pihak menghalang niat murninya untuk membalas budi rakyat setempat.

“Saya akan tetap bersama rakyat Tanjong Karang yang sudah banyak membantu saya sehingga saya menjadi Ahli Parlimen dan menteri. Jangan halang saya untuk berbakti dan membalas budi berkenaan,” katanya. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram