KUALA LUMPUR – Pas Perak siap sedia terajui Perak Sejahtera, kata Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria.
Kenyataan itu dikongsi dalam hantaran di Facebook, dipercayai ada kaitan dengan dakwaannya bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan datang berjumpa dengannya.
Dakwaan itu ada kaitan dengan spekulasi gerakan menumbangkan kerajaan negeri Perak.
Dalam komennya pada hantaran itu, Razman berkongsi tentang tema Konvensyen Pas Perak – iaitu Pas Menerajui Perak Sejahtera.
Tema itu merupakan kesinambungan daripada tema Konvensyen ke-21 yang diadakan pada tahun 2019 iaitu Islam Memimpin Perak Sejahtera.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan Razman berkata, beberapa ADUN kerajaan datang sendiri berjumpa dengannya namun beliau enggan mendedahkan jumlah serta nama ADUN kerajaan yang didakwa berjumpa dengannya itu. – MG
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria mendakwa beberapa Adun kerajaan ada bertemu dengannya, yang dikatakan berkait rapat spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan negeri itu.
Adun Gunung Semanggol itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk kerajaan perpaduan Perak yang bertemu dengannya atas inisiatif sendiri.
“Kebenarannya (gerakan tumbangkan kerajaan negeri Perak) tak dapat nak dibuktikan, umpama kalau seseorang itu merancang nak pergi mencuri, tapi jadi atau tidak, kita tak tahu.
“Saya tak tahu ini perancangan siapa, benar atau tak benar itu saya tak tahu, kalau benar berlaku kita mengalu-alukannya,” katanya menurut Utusan Malaysia.
“Saya tahu (wujud gerakan tumbangkan kerajaan negeri) sebab ada beberapa orang (Adun kerajaan) yang jumpa saya. Tapi tak kan saya nak cerita (terperinci).”
Razman yang juga pesuruhjaya PAS Perak berkata, kenyataan Menteri Besar Saarani Mohamad berhubung gerakan menumbangkan kerajaan hanya bersifat penafian dan mendakwa ‘hati manusia tidak boleh dipegang’.
“Memang (parti politik) ada baiah, berjanji tapi tak boleh nak pegang.
“Kalau beliau (Saarani) kata sudah ‘scan’ (Adun kerajaan) Alhamdulillah, kita pun harap kerajaan ini sampai hujung penggal tapi rasanya tak sampai agaknya,” katanya.
Sebelum ini, Saarani menegaskan kerajaan perpaduan di Perak masih kukuh walaupun wujud dakwaan dan khabar angin berkaitan pentadbiran kerajaan negeri akan bertukar Julai ini.
Kerajaan perpaduan Perak terdiri daripada gabungan 33 wakil rakyat iaitu 24 Adun Pakatan Harapan (PH) dan 9 dari Barisan Nasional (BN).
Blok pembangkang diwakili 17 Adun PAS dan 9 dari Bersatu.
Dewan Undangan Negeri Perak adalah satu daripada tujuh negeri yang telah meluluskan pindaan kepada enakmen negeri masing-masing bagi membolehkan undang-undang anti-lompat parti dikuatkuasakan. − FMT
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel