Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dibiayai swasta sepenuhnya



KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggar bernilai RM1.6 bilion, akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerajaan tidak memiliki wang untuk membangunkan KXP walaupun ia amat diperlukan selaku pemangkin pembangunan di koridor utara.

Loading...

“Ini (pembinaan KXP) adalah projek swasta. Peruntukan RM1.6 bilion itu memang untuk pembangunan lapangan terbang ini tetapi ia adalah inisiatif swasta.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita perlu pembabitan aktif pihak swasta kerana kerajaan tidak mempunyai wang membangunkannya.

Loading...

“Pembangunan itu mesti dilaksanakan, maka penyertaan pihak swasta amat diperlukan untuk melaksanakan pembangunan penting ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang menyifatkan pengumuman peruntukan RM1.6 bilion bagi pembinaan KXP sebagai mengejutkan kerana ia sepatutnya dibangunkan pihak swasta seperti perbincangan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Loading...

Selasa lalu, Mohamed Azmin mengumumkan, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Mengenai keperluan membina KXP, Mohamed Azmin berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sudah mencapai kapasiti maksimum dan tidak dapat diperluaskan kerana kekangan kawasan.

Loading...

“Untuk menampung permintaan industri khususnya di selatan Kedah dan koridor utara, ada keperluan untuk pembangunan lapangan terbang baharu bagi menarik pelabur,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan KXP tidak akan memberi impak negatif terhadap LTAPP dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar, Kedah.

Loading...

“KXP akan melengkapi fasiliti di Pulau Pinang dan Alor Setar. Ketika ini, semakin banyak pelabur datang ke Malaysia, tetapi kita tidak mahu mereka bertumpu di Lembah Klang, Selangor atau Johor sahaja.

“Kerajaan mahu lebih banyak pelaburan di koridor utara dan negeri lain. Ini sebahagian daripada kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya. – BHarian


Join our Telegram Channel
Telegram