Ahli Bersatu terlibat dadah akan dikenakan tindakan: Tun M



SERENDAH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memberi amaran untuk mengenakan tindakan terhadap ahlinya jika mereka antara 17 individu yang ditahan dalam satu kes dadah semalam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu berkata, bagaimanapun parti itu perlu mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita akan tunggu maklumat sebelum kami putuskan apa nak buat. Tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang. Tidak kira siapa anda. Malah jika saya langgar undang-undang, saya akan masuk penjara,” katanya selepas melawat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Berhad di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini berkata, seramai 17 individu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, semalam dengan kebanyakan mereka didapati positif dadah.

Dr Mahathir ditanya media mengenai penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu yang telah disahkan Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari hari ini.

Penahanan ADUN tersebut viral di media sosial hari ini. - Bernama/Sinar
Join our Telegram Channel
Telegram