Rebut Ketua Bahagian, Redzuan kecewa dengan Mas Ermieyati



KUALA LUMPUR: Ketua PPBM Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof kecewa dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin merebut jawatan ketua Bahagian Masjid Tanah dengannya yang dianggap tindakan cuba menidakkan kepimpinannya di bahagian itu.

Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, masih banyak penambahbaikan perlu dlakukan ke atas PPBM Masjid Tanah kerana ia merupakan parti termuda dalam Pakatan Harapan dan tindakan Mas Ermieyati seolah-olah cuba “meruntuhkan rumah yang dibinanya”.

“Saya bawa dia masuk ke dalam rumah, saya pelawa dia duduk dan berharap kami dapat duduk bersama berbincang untuk tambah baik, tetapi dia masuk rumah saya, dia tukar barang-barang rumah.

Loading...

“Di mana letaknya kejujuran dia untuk bersama saya membangunkan PPBM dengan cuba menolak saya keluar?” soalnya dalam wawancara bersama FMT.

Anak jati Masjid Tanah itu berkata, beliau tidak menjangkakan perkara itu berlaku memandangkan Mas Ermieyati antara individu ditemuinya secara peribadi dengan harapan dapat memperkasakan PPBM bersama.

“Saya nyatakan secara jujur, ketika beliau di dalam Umno, saya sendiri pada hari pertama sebelum persidangan Parlimen bermula, pada majlis mesra sesi suai kenal ahli Parlimen, saya berjumpa dengan dia kerana dia merupakan kenalan saya di kampung.

Loading...

“Saya katakan padanya, sekarang ini Pakatan Harapan sudah menjadi kerajaan, tidak berminatkah untuk bersama perjuangan ini bagi mengembalikan perjuangan asal parti Melayu? Ketika itu, dia katakan kepada saya tunggulah.

“Sampai ke kemuncaknya, saya sendiri bawa dia secara fizikal bertemu dengan pengerusi PPBM untuk serahkan borang penyertaan dan saya sendiri yang mengambil gambar dia menyerahkan borang itu kepada Dr Mahathir Mohamad.”

Mas Ermieyati menyertai PPBM pada Disember 2018, selepas meninggalkan Umno pada Julai tahun sama.

Loading...

Ketika itu, bekas ketua Puteri Umno berkenaan meminta anggota PPBM tidak terlalu risau dengan kemasukannya kerana niatnya bukan untuk mendapatkan jawatan, sebaliknya mahu terus berkhidmat dan membantu rakyat.

Redzuan dalam usaha mempertahankan jawatannya sebagai ketua PPBM Bahagian Masjid Tanah dan bertanding jawatan naib presiden di peringkat Pusat pada pemilihan parti yang julung kali diadakan sejak penubuhannya.

Bagaimanapun di peringkat bahagian, beliau dicabar Mas Ermieyati serta setiausaha bahagian, A Lukman Ab Ghani.

Loading...

Redzuan berkata, sebagai seorang daripada 12 pengasas PPBM, Mas Ermieyati berpotensi memantapkan perjuangan parti di Masjid Tanah.

“Perasaan saya bercampur-campur. Saya amat kesal sebabnya dia sendiri menyatakan kepada saya yang dia akan bersama-sama membangunkan PPBM di Masjid Tanah. Saya juga terima kehadirannya dengan terbuka.

“Bahkan saya sendiri sarankan kepada Mas Ermieyati untuk isi kelompongan sebagai Wanita Bahagian Masjid Tanah.”

Loading...

Beliau berkata, banyak ranjau dan liku dialaminya ketika menyertai usaha menubuhkan PPBM dan memperkenalkan parti itu kepada pengundi di Melaka.

“Susah kerana saya seorang sahaja ketika itu. Saya pernah tidur di bawah pokok, kereta dipancitkan orang semata-mata hendak membawa perjuangan PPBM ketika itu. Ramai yang menolak, ketawakan perjuangan PPBM, tetapi kita tetap berjiwa besar walaupun kecil.

“Alhamdulillah atas semangat juang ketika itu, kini PPBM ada 26 kerusi Parlimen, termasuk (yang dipegang) Mas Ermieyati. Sepatutnya 26 pemimpin inilah yang menjadi tulang belakang untuk mengembangkan parti, bukan menolak satu sama lain.”

Loading...

Masjid Tanah jadi pusat ekonomi Melaka

Redzuan berkata, sekiranya diberi kepercayaan oleh akar umbi PPBM untuk terus mengetuai Bahagian Masjid Tanah, beliau berhasrat menjadikan kawasan Parlimen itu sebagai pusat ekonomi Melaka.

“Kita hendak bawa perkembangan industri halal, saya hendak bawa itu ke Masjid Tanah. Saya juga hendak bawa program eksklusif untuk pembangunan ekonomi belia di sini. Saya hendak lihat Masjid Tanah yang suatu ketika dahulu dipanggil ‘pusat akademik Melaka’ menjadi pusat ekonomi Melaka.

Loading...

“Saya berhasrat kurangkan kadar pengangguran, menaikkan pendapatan orang kampung, wujudkan lebih banyak peruncitan, mengadakan industri melibatkan pertanian menggunakan jentera dan koperasi. Itulah rancangan dan projek kita sedang bincang, tetapi ini makan masa, bukannya esok terus boleh buat.”

PPBM akan mengadakan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan parti secara serentak bermula 25 hingga 28 Jun ini.

Pencalonan bagi pemilihan parti bermula sejak 26 Januari ini, disusuli persidangan peringkat cawangan mulai 15 Feb hingga 29 Mac ini, manakala mesyuarat peringkat bahagian pada 18 April nanti. – FMT

Join our Telegram Channel
Telegram