‘Apa pulak formula dia kali ni’, Farhash sindir Rafizi



PETALING JAYA: Bekas Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyindir Rafizi Ramli berkaitan formula yang dimiliki berikutan keputusannya untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu bulan depan.

Farhash berkata, Rafizi sebelum ini tidak menjalankan tugas sebagai naib presiden serta menghilangkan diri ketika parti memerlukannya.

“Dia tak jalankan tugas sebagai naib presiden, jadi saya harap ahli-ahli menilailah. Saya tak tahu apa formula dia ada,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Rafizi untuk bertanding dengan alasan politik progresif pelbagai bangsa kini berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

Rafizi berkata, ketaasuban kepada strategi gabungan politik ketika ini semakin menjauhkan PKR dan PH daripada rakyat sehingga membuatkan rakyat beranggapan bahawa semua hanyalah drama “Keluarga 69”.


Malah katanya lagi, keputusan untuk kembali ke gelanggang politik dibuat setelah mendapat desakan daripada pendukung PKR dan PH.

Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan timbalan presiden. Beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.

Bagaimanapun, jawatan timbalan presiden kosong sejak dua tahun lalu selepas Azmin dipecat oleh parti itu pada 24 Feb 2020.

Mengulas lanjut, Farhash berkata, dia menerima keputusan Rafizi itu sebagai proses demokrasi, namun pada masa sama mengingatkan Rafizi untuk menjalankan tugas dan tidak sekali lagi menghampakan penyokong.

“Tak apalah, ini parti demokrasi, dia nak bertanding apapun tidak tak ada masalah, cuma kalau menang nanti jangan hilang lagi sekali.

“Kalau nak buat kerja, buat betul-betul, jangan hampakan penyokong,” katanya.


Pertahan jawatan naib presiden

Sementara itu, Ketua Bahagian PKR Kangar Amin Ahmad mengulangi pendiriannya bahawa Rafizi lebih sesuai bertanding mempertahankan jawatan naib presiden yang disandang buat masa ini.

“Saya pernah komen bahawa dia pimpinan agak popular dan secara umum baik dalam masyarakat, mahupun parti sendiri. Bila dia tinggalkan kedudukan naib presiden, saya cadangkan dia bertanding naib presiden dulu.

“Bukan saya kata dia tak perlu kembali atau jangan bertanding, saya cakap begitu atas kesedaran kerana sebelum ini banyak cakap-cakap dalam parti tapi akhirnya hak demokrasi dia nak bertanding di mana pun, malah jawatan presiden sekalipun,” kata Ahli Parlimen Kangar itu.

Amin yang juga Ketua PH Perlis turut berkata, keputusan Rafizi mungkin berdasarkan keyakinannya terhadap akar umbi bagi membolehkan beliau memenangi jawatan tersebut.

“Jadi kalau siapa-siapa nak tanding sudah tentu ambil banyak perhitungan. Dia tak tanding suka-suka kerana dia perlu lihat sokongan akar umbi dan itu pilihan masing-masing,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram