Melaka antara 3 negeri rekod kadar pematuhan SOP tertinggi



KUALA LUMPUR: Pahang, Pulau Pinang dan Melaka merekodkan kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertinggi dengan mencapai 98 peratus sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kadar pematuhan SOP paling rendah pada peringkat negeri yang dicatatkan setakat ini pula ialah 86 peratus.

"Oleh itu, secara puratanya, kadar pematuhan SOP ketika PKPB berkuat kuasa buat masa ini ialah sekitar 95 peratus," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.


Loading...

Dalam pada itu, Ismail yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebuah pusat kuarantin tambahan dibuka, semalam, menjadikan jumlah keseluruhannya 229 dengan menempatkan 14,496 individu.

Beliau berkata, seramai 625 rakyat Malaysia pulang ke tanah air, semalam, dan diarahkan menjalani proses kuarantin wajib bagi mengekang penularan COVID-19.

"Seramai 32,692 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu. Hingga hari ini, seramai 24,798 individu selesai menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari dan dibenarkan pulang," katanya.


Loading...

Menyentuh perkembangan operasi nyah cemar, Ismail menjelaskan, sebanyak 6,708 sanitasi awam seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilakukan, termasuk di 80 zon kuning dan merah.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 9,732 premis kerajaan, perniagaan dan kawasan awam telah dinyah cemar sejak 30 Mac lalu.

"Semalam, 99 operasi sanitasi meliputi 33 zon merah dan kuning di 11 negeri, termasuk 33 operasi di Johor, Sabah (19) dan Sarawak (14), sudah dijalankan," katanya. – BHarian



Join our Telegram Channel
Telegram