
SURAT makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi ini.
Notis kekosongan itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Pahang, Ahmad Fadzli Rohimi Suhaimi yang mewakili Pengarah SPR Pahang di Pejabat Speaker Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan kira-kira 11.15 pagi.
Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad ketika dihubungi berkata, pihak SPR akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil itu.
Loading...
"Kerajaan Negeri perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN kepada SPR supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Zamree Hamli ketika dihubungi mengesahkan menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Negeri.
"SPR akan menentukan tarikh mesyuarat khas untuk memutuskan tarikh penamaan calon, tarikh mengundi awal dan undi biasa," katanya.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia awal pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat serangan jantung.
Loading...
Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).
Pada PRU14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.
Pada pertembungan itu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob ketika itu. – Hmetro
Join our Telegram Channel
