Dr M terdiam selepas Najib dedah kontrak anak-anak



1. Pertembungan antara Datuk Seri Najib Razak dengan Tun Dr. Mahathir jelas semakin memuncak apabila terkini Datuk Seri Najib mendedahkan satu demi satu kontrak yang diperoleh anak-anak Tun Mahathir sewaktu Tun menjadi Perdana Menteri.

2. Pendedahan pertama Datuk Seri Najib ialah berkenaan Mirzan Mahathir yang membangunkan Konsortium Perkapalan pada tahun 1990-an yang kemudiannya diselamatkan (bail-out) oleh Petronas melalui MISC sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1998.

3. Sumber yang dipetik Datuk Seri Najib ialah laporan Wall Street Journal (WSJ) bertajuk “MISC to Pay $220 Million Price For Assets From Mahathir's Son”. Rujuk di sini.

4. Menurut Datuk Seri Najib, pada tahun 1996 Mirzan juga membeli Diperdana Corp daripada adik lelaki Vincent Tan iaitu Danny Tan – hanya dua tahun selepas Danny membeli syarikat tersebut.


5. Datuk Seri Najib merujuk sumber WSJ berikut: “Diperdana Stake Is Sold in Deal Said to Be Tied to Mahathir's Son”. Rujuk di sini.

6. Seterusnya, Datuk Seri Najib mempersoalkan transaksi pada tahun 1997 apabila seorang lagi anak lelaki Tun Mahathir iaitu Mohzani yang menjadi pemegang saham terbesar kumpulan Hospital Pantai selepas membelinya daripada kumpulan Berjaya yang dikawal Vincent Tan. Rujuk di sini.

7. Susulan daripada pembelian tersebut, Datuk Seri Najib menyatakan bahawa konsesi FOMEMA dan juga kontrak bekalan hospital kerajaan telah dianugerahkan kepada kumpulan tersebut ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.

8. Pendedahan berikutnya Datuk Seri Najib ialah berkenaan kumpulan Kencana yang ditubuhkan oleh Mokhzani hanya setahun sebelum ia dianugerahkan lesen ‘fabrication’ (Offshore Structures) yang utama daripada PETRONAS pada tahun 2002. Untuk rekod, Kencana Petroleum ialah satu daripada hanya tujuh pemegang lesen tersebut di Malaysia pada waktu itu. Rujuk di sini.


9. Datuk Seri Najib juga mempersoalkan hakikat bahawa anak-anak Tun Mahathir mendapat manfaat perniagaan sebanyak berbilion dengan Petronas sewaktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya Penasihat Petronas selama 12 tahun sejak 2003.

10. Malah, Datuk Seri Najib turut mempersoalkan tender kontrak secara rundingan terus yang dianugerahkan kepada seorang lagi anak lelaki Tun Mahathir iaitu Mukhriz pada tahun 2003 iaitu Opcom.

11. Syarikat tersebut dianugerahkan kontrak bernilai RM214 juta daripada Telekom Malaysia melalui arahan langsung daripada Kementerian Kewangan (Datuk Seri Najib juga mendedahkan surat tersebut di laman FB beliau).

12. Kontrak ini cukup penting bagi penyenaraian Opcom kemudiannya pada tahun tersebut di mana satu lagi ‘bundle’ telah dibuat.

13. Tidak ketinggalan, Datuk Seri Najib turut mengkritik ketika penggal kedua Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri di mana Pelan Fiber dan Rangkaian Seluruh Negara (NFCP) yang bernilai RM21.6 bilion ialah satu-satunya projek mega yang disegerakan dan diumumkan oleh kerajaan PH dan diluluskan oleh kabinet dalam masa yang singkat. Rujuk di sini.

Anak-anak Tun Mahathir yang kaya dan berjaya. Dari kiri: Mokhzani, Mirzan dan Mukhriz.

14. Datuk Seri Najib turut mempersoalkan bahawa saham Opcom yang majoritinya dimiliki dua anak lelaki Tun Mahathir melonjak 50% apabila projek tersebut diumumkan kerana ia adalah merupakan antara pihak yang mendapat manfaat daripadanya:

15. Memetik laporan The Edge Markets: “Opcom rose 18.5 sen or 41.11% to 63.5 sen. Opcom's share price rise could be due to news that the Malaysian Cabinet had today approved the implementation of the National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP). Rujuk di sini.

16. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh kedua-dua pihak sama ada daripada Datuk Seri Najib Razak dan juga Tun Mahathir tentang kontrak yang diperoleh anak-anak lawan masing-masing adalah satu perkembangan yang sihat bagi ketelusan dalam ekonomi politik negara. Akan tetapi, adalah lebih baik sekiranya kedua-dua pemimpin ini berbalas hujah dalam Bahasa Melayu bagi tujuan pemahaman rakyat awam.

17. Semoga ada penjelasan dan jawapan balas yang tuntas daripada Tun Mahathir terhadap setiap satu pendedahan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Abdul Muein Abadi
Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

ARTIKEL BERKAITAN:





Join our Telegram Channel
Telegram