Ramai ahli PKR Melaka umum keluar parti hujung minggu ini



Sebuah NGO baru dikatakan akan mengadakan majlis pengisytiharaan keluar dari PKR peringkat negeri Melaka 27 Jun ini.

Bekas naib presiden PKR negeri itu, G Rajendran mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysiakini, semalam.

Bagaimanapun Rajendran berkata, beliau tidak akan ke majlis tersebut meskipun telah menerima jemputan.

"Ya, saya memang menerima jemputan untuk menghadiri pada 27 Jun ini.

“Sejak dua hari lalu saya menerima panggilan daripada beberapa orang untuk menghadiri majlis itu.

"Tapi, saya tidak pergi kerana pendirian saya berbeza dengan NGO tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Loading...

Baru-baru ini, tular satu notis di media sosial yang mendedahkan bahawa sebuah NGO dikenali sebagai PKN (Penggerak Komuniti Negara) bakal mengadakan majlis pengisytiharaan keluar PKR beramai ramai peringkat negeri Melaka pada 27 Jun, 10 pagi, bertempat di Taman Tasek Utama, MITC Ayer Keroh, Melaka.

Notis yang dilihat Malaysiakini itu dikeluarkan oleh individu yang hanya dikenali sebagai 'Awi', yang didakwa sebagai setiausaha PKN, Melaka.

Menurutnya, PKN ditubuhkan oleh beberapa bekas ahli PKR di Melaka yang kini bersama bekas timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

"Di peringkat Melaka, PKN diketuai oleh Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis," kata Rajendran yang telah keluar dari PKR pada Mac yang lalu.

Loading...

"Saya letak jawatan dari PKR bukan kerana sokong Azmin, sebaliknya tidak sehaluan dengan PKR peringkat negeri Melaka yang penuh dengan sikap pilih kasih dan kronisme.

"Jadi, saya tidak menyertai majlis itu kerana masih tetap pendirian saya iaitu menyokong agenda reformasi oleh mana-mana pihak," tambahnya.

Sementara itu, Jailani ketika dihubungi enggan mengulas lebih lanjut berkenaan notis tersebut dan hanya meminta untuk menunggu pada hari berkenaan.

“Saya tak nak ulas banyak. Tunggu dan lihat saja,” katanya secara ringkas.

Sementara itu, Adun Machap Jaya Ginie Lim pula tidak mahu memberikan sebarang komen setelah dihubungi.

Untuk rekod, Jailani dipecat parti pada 12 April lalu kerana beliau telah menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), dan menghadiri perjumpaan bersama gabungan parti tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula menambah bahawa pihaknya tidak tahu menahu berkenaan jemputan itu.

“Saya tak tahu berkenaan perkara tersebut dan tak pasti kesahihan (notis) itu,” katanya lagi. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram