Kes Najib: Orang ramai mula berkumpul di luar mahkamah



KUALA LUMPUR: Puluhan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, sejak jam 7 pagi ini.

Kehadiran mereka sebagai tanda sokongan terhadap Najib yang berhadapan dengan keputusan mahkamah sama ada Ahli Parlimen Pekan itu akan disabitkan atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, hari ini.

Sementara itu, beberapa anggota polis turut ditempatkan di sekitar kawasan kompleks itu bagi mengawal aliran trafik dan situasi semasa.


Loading...

Hanya beberapa pengamal media yang mempunyai pas khas dibenarkan masuk untuk menghadkan jumlah wartawan dan jurufoto membuat liputan selari dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Setakat jam 7.30 pagi, keadaan dilihat masih terkawal tanpa sebarang kekecohan dan kejadian tidak diingini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Bagi tuduhan pecah amanah, Najib didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan, dalam memberikan jaminan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.


Loading...

Najib didakwa melakukan kesalahan itu antara Disember 2014 dan Mac 2015 di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, ibu negara.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut sistem pemindahan dana dan sekuriti secara elektronik masa nyata (rentas) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad.

Sabit kesalahan, Najib boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama. – Bharian





Join our Telegram Channel
Telegram