Dewan Rakyat panas Tengku Zafrul kantoikan Tommy Thomas menipu isu penyelesaian Goldman Sachs. Guan Eng, Tony Pua meroyan teruk


Please subscribe


KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Februari lalu berhasrat membuat penyelesaian di luar mahkamah berhubung tuntutan dana dan aset milik Malaysia daripada bank pelaburan global, Goldman Sachs.

Ia dikemukakan menerusi syor daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sepucuk surat bertarikh 11 Februari 2020.

Mendedahkan rundingan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata syor sedemikian dibuat selepas Goldman Sachs bersetuju menaikkan tuntutan bayaran balik untuk Malaysia kepada AS$1.75 bilion (RM7.3 bilion), berbanding AS$1.5 bilion (RM6.28 bilion) yang pernah ditawarkan pada 13 Disember tahun lalu.

"Jumlah ini termasuk bayaran cukai AS$1.64 juta (RM6.87 juta) dan pulangan yuran bernilai AS$567 juta (RM2.3 bilion). Syor yang diberikan Tommy Thomas dalam surat itu ialah untuk cari penyelesaian di luar mahkamah.



"Ini bercanggah dengan dakwaan beliau bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak seharusnya menerima penyelesaian di luar mahkamah," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat, hari ini.

Pendedahan terbaharu mengenai surat bekas Peguam Negara itu mengundang kekecohan Dewan dan mendorong beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mencelah.

Tony Pua (DAP-Damansara) mempersoalkan sama ada syor dalam surat berkenaan bertujuan menerima tawaran balas dikemukakan Goldman Sachs bernilai AS$1.75 bilion (RM7.3 bilion).

"Yang saya tahu, Pakatan Harapan (PH) sudah tolak tawaran itu. Kedua, dalam kenyataan bekas Peguam Negara, beliau tidak menyebut kerajaan tidak patut buat penyelesaian luar mahkamah.

"Beliau sebut masa paling baik untuk buat penyelesaian luar mahkamah adalah selepas Goldman Sachs dibawa ke mahkamah dan pengarah mereka perlu masuk mahkamah untuk hadapi tuduhan, itu berikan kita kelebihan paling maksimum untuk dapatkan tuntutan paling tertinggi.



"Dalam isu AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) nilai aset yang dijamin Goldman Sachs, mereka buat pengumuman di Bursa New York tidak akan keluarkan satu sen pun untuk membiayai jaminan itu, maksudnya AS$1.4 bilion akan diterima walaupun tiada jaminan daripada Goldman Sachs," katanya.

Meneliti data di tablet digunakannya, Tengku Zafrul berkata, kerajaan terdahulu mendaftarkan kes jenayah terhadap bank global itu dan 17 pengarahnya, namun belum ada mana-mana pengurusan tertinggi Goldman Sachs dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, proses penyerahan pertuduhan berkenaan belum terlaksana, malah 17 pengarah bank global harus perlu diekstradisi dan dibicarakan di negara ini jika pendakwaan ingin dilakukan di Malaysia.

"Proses ini tidak pernah dilaksanakan ketika beliau (Tommy) menjadi Peguam Negara. Sekiranya proses ekstradisi ini dilakukan, ia pasti ditentang oleh 17 pengarah berkenaan, sekali gus tiada kepastian untuk mereka berjaya dibawa ke Malaysia.

"Pada masa sama, denda terhadap syarikat mungkin tidak mencukupi untuk menanggung liabiliti daripada bon yang akan matang pada 2023," katanya.


Menyentuh isu pemulangan aset AS$1.4 bilion dan dikatakan mendapat jaminan Goldman Sachs, Tengku Zafrul berkata, nilai aset dibekukan tidak semestinya diterima pada nilai sama seperti yang berlaku dalam perolehan semula kapal layar mewah, Equanimity.

Berbanding harga pembelian AS$250 juta (RM1.04 bilion), beliau berkata, Malaysia hanya memperoleh semula separuh daripada nilai asal iaitu AS$125 juta (RM523.5 juta), tidak ditolak kos pemulihan dan penyelenggaraan.

"Begitu juga kes jet bombardier bernilai AS$35.37 juta (RM148.1 juta) yang dirampas di Singapura dan dijual pihak berkuasa negara itu pada harga AS$137,615 (RM576,400) dan Malaysia sekadar menerima AS$136,500 (RM571,730).

"Ringkasnya, tiada kepastian kita akan dapat nilai penuh aset yang dibeku dan dirampas di seluruh negara dan jumlah yang dipersetujui adalah jumlah sebenar akan diterima Malaysia, bukan nilai yang diisytiharkan daripada aset disita," katanya disusuli dentuman meja dan sorakan bertali arus daripada blok kerajaan setiap kali fakta berhubung urusan tuntutan balik daripada Goldman Sachs dikemukakan.

Bingkas bangun mencelah, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) meminta perincian sama ada persetujuan menerima tawaran terkini daripada Goldman Sachs ketika ini mendapat kelulusan Jemaah Menteri.



Bekas Menteri Kewangan itu turut mempersoalkan sekiranya rundingan untuk menerima tawaran bank global berkenaan dibuat membabitkan satu atau dua individu.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai utusan surat antara (bekas) Peguam Negara (Tommy) dan (bekas) Perdana Menteri (Dr Mahathir) kerana apabila satu penyelesaian penting, ia harus diluluskan Kabinet," katanya sebelum duduk menunggu jawapan balas.

Tampil bersahaja sambil mengenakan butang pada kot biru gelapnya, Tengku Zafrul memaklumkan, Kabinet memberi kuasa kepada Peguam Negara dan pasukannya mencari penyelesaian rundingan dengan Goldman Sachs.

Kelihatan tidak berpuas hati, Guan Eng menghidupkan suis mikrofon dan berkata: "Ini luar biasa Datuk Yang Dipertua. Sepatutnya diluluskan Kabinet untuk transaksi sebesar ini. Tidak boleh diputuskan satu dua orang.

"Ini sama dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah yang mana keputusan hanya dibuat oleh satu dua orang.



"Ini isu kebertanggungjawaban dan ketelusan. Tidak boleh dibiarkan begitu saja," katanya dalam nada tinggi di tengah-tengah laungan 'duduklah' dalam kalangan ahli Parlimen blok kerajaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang rancak menekan butang untuk 'mematikan' mikrofon lain menggesa Guan Eng duduk, malah memberi amaran dua kali untuk bekas Menteri Kewangan itu akur kepada arahan berkenaan bagi mengelak tindakan lanjut.

Tengku Zafrul yang kekal tenang menjawab, mengakui pihaknya memahami isu yang dibangkitkan itu mempunyai kaitan dengan prinsip urus tadbir.

"Saya pun nak tanya juga, keputusan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) berkadar sifar ini tidak pernah pula pergi ke Kabinet?" katanya sekali gus menjadikan suasana di Dewan Rakyat kembali riuh sebelum mengakhiri penggulungan perbahasan. – Bharian

ARTIKEL BERKAITAN:




Join our Telegram Channel
Telegram