Kekeliruan dalam perbicaraan Zahid, saksi saling kontradik



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes rasuah Zahid Hamidi hari ini diberitahu Yayasan Al-Falah tidak melantik firma guaman Lewis & Co untuk mengurus akaunnya atau untuk bertindak dalam kapasiti lain.

Pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Faisalluddin Mohamat Yusuff, yang juga peguamnya, tidak sedar tentang pelantikan itu sejak beliau dilantik ke lembaga pemegang amanah pada 2014.

“Setahu saya, kami tidak melantik mereka (Lewis & Co) untuk mengurus akaun kami atau untuk bertindak dalam kapasiti lain,” katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidee Zainal.

Faisalluddin juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Zahid tiada kaitan dengan Yayasan Al-Falah.


Beliau juga bersetuju dengan Zaidee bahawa Yayasan Al-Falah dan Yayasan Akalbudi mempunyai matlamat yang sama kerana ia ditubuhkan ahli keluarga Zahid.

Saksi itu juga berkata beliau tidak mengeluarkan sebarang cek kepada Lewis & Co atau mengarahkan firma guaman itu untuk menyimpan duit dalam simpanan tetap.

Peguam, B Muralidharan, rakan kepada firma guaman itu, sebelum itu berkata Yayasan Al-Falah ialah anak guamnya dan pernah menerima arahan daripada Zahid.

Muralidharan berkata Zahid menghantar 92 cek bernilai RM76.9 juta kepada firma guaman antara 20 Mei 2016 dan 9 April 2018, dan menambah anak guamnya ialah Yayasan Al-Falah.

Pemegang amanah Yayasan Al-Falah ialah abang Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi alias Hamidi, manakala Zahid ialah pemegang amanah Yayasan Akalbudi.


Kedua-dua yayasan mempunyai matlamat sama iaitu memberi derma dan memperkasakan Islam.

Faisalluddin dipanggil semula untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan kerana pendakwaan pada minggu lepas meminda tuduhan pecah amanah (CBT) untuk menyatakan Zahid diamanahkan dengan keempunyaan terhadap harta benda yayasan (Yayasan Akalbudi) bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Saksi itu berkata hal ehwal Yayasan Al-Falah dan dana diurus oleh beliau, Nasaee, dan seorang lagi pemegang amanah, Mohd Farid Abdullah.

Beliau terkejut dengan testimoni Muralidharan di mahkamah bahawa Yayasan Al-Fatah melantik mereka sebagai peguam untuk menguruskan hal ehwal yayasan tersebut.

“Ini merupakan kali pertama saya bertemu dengan Muralidharan dalam bilik saksi,” katanya.

Disoal lagi oleh Zaidee, Faisalluddin berkata Zahid tiada keempunyaan terhadap harta benda Yayasan Al-Falah atau kuasa untuk melantik seorang peguam untuk bertindak bagi pihak yayasan.


Ketika diperiksa balas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Faisalluddin tidak pernah jumpa satu surat yang ditulis Nasaee kepada firma guaman itu untuk menggesa mereka merayu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik pembekuan ke atas simpanan tetapnya.

Ini disebabkan Yayasan Al-Falah memerlukan duit untuk membiayai kegiatan kebajikan dan agama dan membayar kontraktor untuk membina masjid dan sekolah agama di Bagan Datuk.

Faisalluddin, bagaimanapun, boleh mengenalpasti tandatangan pada surat tersebut dan berkata ia milik Nasaee.

Beliau berkata Nasaee juga pernah memberitahunya bahawa firma guaman itu tidak dilantik untuk bertindak bagi pihak mereka atas sebarang kapasiti.

“Zahid pernah memberitahu saya terdapat satu sumbangan daripada Yayasan Akalbudi kepada Yayasan Al-Falah, tetapi ia tiada surat rasmi,” katanya.

Zahid menghadapi 12 tuduhan pecah amanah, 8 tuduhan rasuah, dan 27 tuduhan pengubahan wang berjumpah RM117 juta. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram