"SAYA sanggup datang ke sini sebab nak teman suami kerana tak percayakan dia sejak saya tahu dia ada teman wanita lain di pusat hiburan ini.
"Dah tiga kali saya teman dia minum minuman keras sampai mabuk tetapi saya tak minum pun cuma nak rasai sendiri suasana di pusat hiburan ini," kata wanita berusia 39 tahun.
Dia dan suaminya yang berusia 40 tahun bersama 27 individu lain yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Kuah, Langkawi dalam serbuan bermula 2 hingga 6 pagi, hari ini.
Pasangan yang mempunyai empat anak lelaki berusia enam hingga 16 tahun ditahan polis bersama yang lain kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Suri rumah itu berkata, disebabkan bimbang suaminya berfoya-foya dengan wanita lain di luar pengetahuannya, dia merelakan diri walaupun tahu kesalahan yang dilakukannya itu.
"Dulu dia tak pernah minum arak, tapi sejak akhir-akhir ini kerap juga, mungkin dia ada masalah di tempat kerja tetapi saya tak pernah tanya dia.
"Hanya Allah yang tahu perasaan saya tapi nak buat macam mana saya terpaksa," katanya.
Wanita itu berkata, dia dan suaminya menumpang kereta rakan suaminya ketika pulang ke rumah malah empat anaknya menyangka mereka pergi bekerja.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Roszemi Mat Derus berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.
Beliau berkata, operasi disertai dua pegawai dan 10 anggota yang diketuai Asisten Superintendan Meor Hishamudin Al Hafiz.
"Pasangan suami isteri itu dan 27 individu lain dikompaun RM1,000 kerana melanggar PKPP.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(7) PKPP 2020," katanya. – Hmetro
Join our Telegram Channel