Wanita mengandung dicabul di rumah sendiri, gosok pinggul



BATU GAJAH - Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan berdepan detik hitam apabila dicabul seorang lelaki tidak dikenali ketika tinggal bersendirian di rumahnya di Taman Pusing Utusan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kilang berusia 27 tahun itu didatangi suspek kira-kira jam 8 pagi di rumahnya.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun bertindak menutup mulut mangsa sambil mencengkam pergelangan tangannya ketika mangsa sedang membuka pintu jeriji hadapan.

"Mangsa ditolak masuk ke dalam rumah secara paksa menyebabkan mangsa terbaring mengiring di ruang tamu sebelum suspek bertindak mencabul dengan menggosok pinggul mangsa menggunakan tangan.


"Mangsa merayu supaya dilepaskan dan suspek hanya melepaskan wanita itu selepas diberitahu bahawa dirinya mengandung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya beredar meninggalkan wanita itu setelah menyedari jiran mangsa keluar rumah.

Ahmad Adnan berkata, bertindak atas laporan dibuat wanita itu, polis berjaya menjejaki suspek dan menahannya di sebuah tapak projek kira-kira jam 4.40 petang semalam.

“Suspek yang merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai penyelia tapak projek dipercayai telah lama mengekori mangsa memandangkan tinggal menyewa di kawasan sama.


“Siasatan di lokasi juga mendapati kawasan di situ agak sunyi kerana tidak ramai penghuni dan ketika kejadian suspek memakai pelitup muka,” katanya.

Katanya, mangsa telah diarah untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital dan didapati kandungannya selamat selain hanya mengalami lebam di pergelangan tangan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek sudah berkahwin dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya. – Sinar 



Join our Telegram Channel
Telegram