Hormat hak UMNO mohon pengampunan Najib – TPM Fadillah



PETALING JAYA: Semua pihak perlu menghormati usaha UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana ia adalah hak parti  dalam memperjuangkan bekas presiden mereka.

Justeru, menurut beliau, semua pihak harus memberi ruang kepada Lembaga Pengampunan untuk melaksanakan prosedur perundangan terhadap permohonan UMNO itu.

“Itu (permohonan pengampunan penuh) adalah usaha UMNO sendiri, tetapi prosedur untuk pengampunan berlainan…adalah proses yang ditentukan oleh perundangan.


“(Jadi) cuma terpulang pada proses sama ada pengampunan  diberi atau tidak,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Rewang Kampungku Lit Nexgen Petra Jaya di Kuching, Sarawak.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghormati apa sahaja keputusan dibuat terhadap bekas Perdana Menteri itu kerana ia dilaksanakan mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan. 

SARAWAK

“Tetapi secara peribadi, kita tahu beliau (Najib) banyak membantu dalam pembangunan negara termasuk di Sarawak ketika beliau mengetuai kerajaan.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo antaranya yang dihasratkan oleh beliau selain banyak lagi projek infrastruktur yang dilaksanakannya yang kita tidak boleh nafikan,” katanya.


Fadillah berkata, beliau bagaimanapun tidak melihat sebarang keputusan pengampunan itu memberi kesan negatif kepada Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ini kerana tumpuan kerajaan sekarang adalah keterangkuman dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia bagi memastikan kita dapat keluar daripada kemelut politik dan pada masa yang sama memberi fokus kepada usaha memulihkan negara,” ujarnya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. − Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram