KEJAM: Pelajar tahun 6 dirogol bergilir-gilir 5 lelaki



DUNGUN: Lima lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di sini, akhir bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharuddin Abdullah berkata, kelima-lima suspek yang berusia 16 hingga 23 tahun itu ditahan antara pukul 5 hingga 6.30 pagi susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa, semalam.


“Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal berseorangan untuk mengambil ibunya pulang berniaga pasar malam dikatakan dihimpit sebuah motosikal dinaiki dua suspek. 

“Selepas mengarahkan mangsa memberhentikan motosikal, salah seorang suspek yang dikenali kanak-kanak itu kemudian membonceng motosikal mangsa dan membawanya ke sebuah ladang kelapa sawit sebelum merogolnya bersama empat rakan lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini hari ini. 


Baharuddin berkata, mangsa cuba membuat panggilan untuk meminta tolong, namun telefon bimbitnya dirampas salah seorang suspek. 

Katanya, kejadian itu hanya terbongkar selepas ibu mangsa menyedari perubahan sikap anaknya yang bertukar murung selepas kejadian tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan. – Utusan




Join our Telegram Channel
Telegram