KUALA LUMPUR – Raja-raja Melayu berpendirian mekanisme semak dan imbang antara
pelbagai cabang kerajaan perlu dihormati dan peranan Yang di-Pertuan Agong
untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan adalah penting demi menjamin berlakunya
keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Penyimpan Mohor Besar
Raja-raja malam ini, Raja-raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip Raja
Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya
pemerintahan yang meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan
undang-undang serta mengutamakan kebajikan rakyat jelata.
Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar
Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad selepas pertemuan Raja-raja Melayu
dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, Kuala
Lumpur petang tadi.
Menyambut undangan Kebawah Duli yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah ibni
Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Raja-raja mengadakan
perjumpaan bersama Seri Paduka Baginda pada hari Ahad, 8 Rabiul Awal 1442,
bersama 25 Oktober 2020 bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur. Perjumpaan
dihadiri oleh:
1. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
2. DYMM Sultan Terengganu
3. DYMM Raja Perlis
4. DYMM Sultan Selangor
5. DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
6. DYMM Sultan Johor
7. DYMM Sultan Perak
8. DYMM Sultan Kedah
9. DYMM Pemangku Raja Pahang
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memaklumkan kepada Raja-raja akan
keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 23 Oktober 2020,
memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengisytiharkan darurat berdasarkan
Perkara 150 Perlembagaan Malaysia.
Berpandukan prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, di samping
memahami keseriusan implikasi daripada permohonan tersebut terhadap imej
negara, pandangan dunia antarabangsa, keyakinan para pelabur dari luar dan
dalam negara serta aspek kemakmuran negara dan kehidupan rakyat jelata,
baginda dengan kearifan dan bijaksana berpendirian amat penting untuk perkara
tersebut dibincangkan secara bersama dengan Raja-raja Pemerintah.
Raja-raja Pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong atas sifat Seri Paduka Baginda memilih melakukan rundingan
dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa
keputusan menyentuh perkara yang sangat penting.
Semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan
Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.
Dalam perjumpaan tersebut Raja-raja telah mencambahkan pandangan dan
menzahirkan pendapat secara terbuka dan berterus terang dalam semangat saling
menghormati, agar dapat dijadikan bahan panduan dan rujukan, membantu Seri
Paduka Baginda membuat ketetapan.
Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara
pelbagai cabang kerajaan dan peranan Seri Paduka Baginda untuk mengimbangkan
pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang
unsur penyalahgunaan kuasa.
Raja-raja turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada
setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang dan
mengutamakan kebajikan rakyat jelata.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Spekulasi Muhyiddin mahu isytihar darurat sedang bertiup kencang
- Kabinet setuju 'darurat' alasan Covid-19
- Agong belum perkenan 'darurat', suruh PM balik dulu
- Muhyiddin cuba elak PRU dengan isytihar 'darurat' – Pembangkang
- Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara – Mat Sabu
- Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti
- Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu
- Muhyiddin perlu letak jawatan, jimatkan masa, biar Agong tentukan
- Darurat boleh halang PRK, PRN dan PRU – Annuar
- Respon Najib selepas Muhyiddin mahu laksana 'darurat'
- Agong: Tiada keperluan isytihar darurat
- Muhyiddin bertemu anggota kabinet, pertimbang letak jawatan?
Join our Telegram Channel