Wakil rakyat Pakatan Harapan (PN) membantah perisytiharan 'darurat' di seluruh
negara dengan menyifatkannya sebagai tidak perlu memandangkan undang-undang
sedia ada sudah cukup untuk menangani wabak Covid-19.
Tidak lama selepas perkara itu didedahkan, pemimpin pembangkang mendakwa
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin cuba menggunakan darurat untuk menggantung
parlimen dan mengelakkan pilihan raya.
Langkah berkenaan diambil di tengah-tengah peningkatan kes Covid-19 dan
tekanan politik yang dihadapi perdana menteri dari luar dan dalam.
Di laman Twitter, bekas menteri kesihatan dan Anggota Parlimen Kuala Selangor,
Dzulkefly Ahmad berkata, perisytiharan darurat tidak perlu untuk mengatasi
wabak tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat (DAP), M Kulasegaran berkata di
negara-negara yang mencatatkan kes Covid-19 yang jauh lebih tinggi tidak
memerlukan mereka mengisytiharkan darurat.
Anggota Parlimen Bakri DAP, Yeo Bee Yin pula berkata, penggunaan Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sudah cukup
untuk mengawal wabak tersebut.
Yeo juga mempersoalkan apakah perdana menteri menggunakan darurat untuk terus
kekal berkuasa.
Sementara itu Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi juga mempersoalkan apakah
perisytiharan darurat adalah untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional
kekal berkuasa dan mengelakkan Muhyiddin hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Senator DAP Liew Chin Tong pula mengingatkan kerajaan untuk tidak 'menggunakan
jalan pintas' dalam demokrasi kerana ini akan memberi kesan negatif kepada
negara.
Anggota Parlimen Tanjong Malim (PKR), Chang Lih Kang juga mengingatkan bahawa
perisytiharan darurat akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi.
Setakat jam 5 petang tadi, perkataan "darurat" menjadi topik trending di
Twitter Malaysia.
Ungkapan "Muhyiddin Out" yang bermaksud penolakan terhadap perdana menteri,
juga menjadi trending di Twitter.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata terserah kepada
Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
"Wabak (Covid-19) semakin serius dan ketua negara (YPD Agong) akan memutuskan
apakah akan mengiytiharkan darurat," tulisnya dalam bahasa Mandarin di
Facebook.
Dalam perkembangan yang sama, pemantau pilihan raya, Bersih berkata
perisytiharan darurat yang melibatkan penggantungan parlimen dan kebebasan
sivil sama seperti "rampasan kuasa" oleh kerajaan Muhyiddin untuk terus kekal
berkuasa.
"Darurat memungkinkan kerajaan yang dilantik Agong membuat ordinan yang setara
dengan Parlimen, dan ia akan terus dikuatkuasakan seolah-olah itu adalah
tindakan parlimen sehingga ia ditarik balik dan dibatalkan, "kata Bersih dalam
satu kenyataan oleh jawatankuasa pemandunya.
Ia menambah ordinan seumpama itu tidak boleh dicabar di mahkamah dan akan
menyebabkan kerajaan persekutuan mengambil alih kuasa di peringkat negeri.
Sementara itu, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat pada masa ini.
"Pengisytiharan darurat akan menyebabkan gelombang kejutan kepada ekonomi,
menyebabkan panik dan huru hara dalam pasaran kerana ia akan dilihat di
peringkat antarabangsa dan domestik sebagai tanda pergolakan politik yang
semakin buruk," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Spekulasi Muhyiddin mahu isytihar darurat sedang bertiup kencang
- Kabinet setuju 'darurat' alasan Covid-19
- Agong belum perkenan 'darurat', suruh PM balik dulu
- Muhyiddin cuba elak PRU dengan isytihar 'darurat' – Pembangkang
- Muhyiddin yang sedang darurat, bukan negara – Mat Sabu
- Laksana perintah darurat, tanda PM hilang majoriti
- Agong akan bincang cadangan PM dengan Raja-raja Melayu
Join our Telegram Channel