Beberapa siri demonstrasi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja
berlangsung di beberapa wilayah di Indonesia hari ini, termasuk di kota
Jakarta yang turut mencetuskan rusuhan sehingga merosakkan harta benda awam.
Demonstrasi yang didokong golongan mahasiswa dan Persatuan Buruh Indonesia
itu, adalah bagi membantah Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang
diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lepas.
Menurut media tempatan, demonstrasi secara aman itu bertukar menjadi kecoh
selepas cuba disuraikan pihak polis itu, turut berlaku di beberapa kota lain
di Indonesia, antaranya Lampung, Bandung, Tangerang, Makassar, Yogyakarta dan
Surabaya.
Demontrasi bermula sejak 10 pagi hingga lewat petang itu, adalah bagi
membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja itu yang didakwa mengabaikan
hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang
diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minima, dan
pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.
Di Jakarta, beribu penunjuk perasaan itu mengadakan perhimpunan di hadapan
Istana Negara, di kawasan Bundaran HE dan kawasan Medan Merdeka di Jakarta,
yang bertukar menjadi rusuhan selepas polis bertindak meleraikan perhimpunan
itu dengan gas pemedih mata dan semburan air.
Penunjuk perasaan bertindak membakar pondok polis, merosakkan harta benda awam
dan bertindak membaling objek batu serta ‘molotov coctail’, kepada anggota
polis.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus berkata,
sehingga 7 malam ini, hampir seribu ditahan kerana mencetuskan rusuhan dan
merosakkan harta benda awam, dan keadaan di beberapa kawasan yang berlaku
perhimpunan dan rusuhan itu, telah disuraikan sepenuhnya.
“Mereka yang ditahan ini bukannya mahasiswa atau golongan pekerja, tetapi
mereka yang mengganggur, tapi turut serta dalam demonstrasi itu yang
kemudiannya sengaja mewujudkan kekacauan,” katanya.
Ramai pihak bimbang siri demonstrasi itu akan mencetuskan kluster baru
pandemik Covid-19, ketika Indonesia masih mencatatkan peningkatan tinggi kes
positif virus itu.
Please subscribe
Please subscribe