UMNO yang tolak tawaran Bersatu untuk KM Sabah – Annuar Musa



Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan UMNO telah melakukan kesilapan terbesar dalam Pilihan Raya Negeri Sabah apabila menolak tawaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menamakan calon Ketua Menteri Sabah sebelum hari penamaan calon.

Menurut Annuar Musa, Umno tidak menyahut tawaran itu dan kita ada pendekatan kita sendiri.

Lebih memburukkan keadaan kata Annuar ada beberapa pendekatan dan strategi yang diambil sama ada Umno atau parti rakan mereka sama ada merugikan atau tidak mencapai sasaran. Annuar mendedahkan perkara ini kepada portal Malaysiakini.com petang tadi.


“BN Sabah terlalu yakin memenangi 26 hingga 27 kerusi. Laporan pengundi putih pada awalnya begitu meyakinkan. 27 daripada 41 (kerusi jika dimenangi) melepasi sasaran stok putih,” katanya.

Bagaimanapun Annuar tidak menyatakan kepada portal terbabit apakah syarat yang dikenakan oleh Bersatu dalam persetujuan membenarkan UMNO mencalonkan Ketua Menteri Sabah,

Kenyataan Annuar Musa ini agak mengejutkan kerana kebanyakan kepimpinan tertinggi UMNO dilihat tidak mengetahui tawaran ini dan menganggap Bersatu telah mempermainkan mereka.

Misalnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, secara terbuka pagi tadi menulis UMNO telah dilemahkan oleh Bersatu dalam PRN Sabah.


“UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihanraya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’. Justeru, telah tiba masanya Presiden UMNO memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita.”

Isnin lepas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga secara sinis mengeluarkan kenyataan sindiran terhadap konflik politik yang berlaku di Sabah.

“Dari katak menjadi putera raja selepas terima ciuman UMNO,” tulisnya ringkas. – SuaraTV

 

Join our Telegram Channel
Telegram