“Kullu nafsin zaiqatul maut. Tidak timbul isu yang kita takut mati. Kita
sebagai orang Islam kita terima kematian di mana-manapun akan berlaku. Bukan
hanya turun padang ataupun tidak.”
Itu kata Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah terhadap dakwaan Ahli Parlimen
Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan
itu sebagai takut untuk mati kerana tidak turun ke Sabah untuk melihat sendiri
pandemik tersebut negeri itu.
Dr. Noor Hisham berkata dia turun ke Sabah pada penghujung Ogos lalu bagi
memastikan persediaan pasukan perubatan memantau jangkitan Covid-19 sewaktu
Pilihan Raya Negeri Sabah akan berlangsung.
Malah dia telah meminta timbalannya Datuk Dr. Chong Chee Kheong untuk turun ke
Sabah melihat perkembangan rawatan dan pencegahan Covid-19 di negeri itu.
Turut turun adalah Penasihat Khas Kesihatan Awam Kepada Perdana Menteri Tan
Sri Dr. Jemilah Mahmood.
Dr. Noor Hisham turut memetik ayat al-Quran
‘Kullu nafsin zaiqatul maut’ yang bermaksud ‘Setiap manusia pasti akan
merasai mati’ bagi menjawab dakwaan King Sing itu.
“Jadi apa yang penting kita pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas kita
dan niat kita ialah untuk memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara kita.
“Dan inilah tujuan utama kita. Dan kita boleh berselisih pendapat tapi yang
pasti apa yang kita laksanakan untuk memutuskan jangkitan Covid-19 supaya kita
dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes dan kadar kematian,”
tegas Dr. Noor Hisham.
Dewan Rakyat bertukar kecoh seketika hari ini setelah berlaku pertikaman lidah
di antara King Sing dan anggota Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen
DAP-Jelutong, RSN Rayer.
Ia bermula selepas King Sing mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan Dr Noor
Hisham “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan
pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.
“DG hari-hari buat berita sahaja, bikin apa? Kalau buat berita, bagi
office boy dia baca. Kenapa dia tak turun padang. Macam Sabah sekarang,
begitu hebat Covid-19. Kenapa dia tak turun melawat tiap-tiap hospital.
“Pergi tengok, berbincang bagi sokongan moral kepada petugas barisan hadapan.
Jangan hantar sahaja doktor dan jururawat pergi, (mereka) tak takut mati tapi
DG takut mati,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat tadi.
Join our Telegram Channel