
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan
kewajaran kerajaan memberikan bantuan wang tunai secara one off kepada
penjawat awam dari Gred 56 ke bawah pada awal tahun depan menerusi Belanjawan
2021.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerajaan tidak perlu berbuat demikian
kerana penjawat awam masih lagi menerima gaji penuh seperti biasa dan tidak
dibuang kerja.
“Kita dapat kerajaan dengan mudahnya melanjutkan ‘lock down’ (perintah
berkurung) dan menjejaskan pemulihan ekonomi serta menekan rakyat yang miskin
sehingga ada yang kehilangan pekerjaan sama sekali.
“Mereka tidak dapat makan sebaliknya ramai orang bergaji terus mendapat gaji
penuh dan biasanya gaji kebanyakan mereka lebih tinggi daripada menampung
keperluan hidup.
“Kerajaan pula akan menambah RM500 lagi sekali gus kepada mereka. Apa perlunya
kerajaan menambah pendapatan mereka apabila gaji mereka lebih daripada
mencukupi membiayai keperluan hidup mereka?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021
Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Mahathir, kerajaan sepatutnya memberikan bantuan sekali bayar berkenaan
kepada mereka yang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan sama sekali kerana
mereka tidak mendapat membiayai kos pembelian makanan harian mereka.
“Tindakan itu perlu kerana ada ramai yang tiada pendapatan sama sekali kerana
tiada pekerjaan atau tidak dapat berniaga lagi dan keadaan itu menyebabkan
keluarga mereka akan turut menderita,” katanya.
Sementara itu, Mahathir turut menyatakan kesediaan beliau bagi memotong 10
peratus daripada pendapatan pencennya bagi mengurangkan beban kerajaan ketika
ini.
“Saya sudah nyatakan bahawa saya bersedia untuk potong pencen yang diperolehi
sebanyak 10 peratus. Tapi untuk menteri saya kata kalau tidak boleh 30
peratus, 10 peratus pun boleh.
“Pemotongan tersebut tidak akan menyebabkan mereka kebuluran,” katanya dalam
sidang akhbar di Parlimen hari ini. – Kosmo
Please subscribe