HULU TERENGGANU - Polis menahan seorang remaja perempuan, sekali gus
membongkar motif kejadian bunuh melibatkan seorang remaja perempuan berusia 19
tahun yang ditemui mati dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong
di sini semalam.
Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata,
pendedahan motif kejadian dibuat suspek berusia 19 tahun itu ketika tampil di
Balai Polis Telemong di sini pada jam 7.30 pagi tadi.
Menurutnya, suspek pada awalnya hadir ke balai polis ditemani ibunya untuk
membantu siasatan, namun hasil keterangan diberi remaja terbabit yang
bersekolah bersama mangsa dari Tingkatan Satu hingga Lima itu mencurigakan
lalu pihaknya membuat tangkapan ke atas suspek untuk siasatan lanjut.
"Hasil pendedahan, suspek memaklumkan dia pergi ke rumah mangsa kira-kira jam
9 pagi dan bersembang di ruang tamu sebelum berlaku perselisihan faham
sehingga tercetusnya pergelutan di antara mereka.
"Suspek kemudian mengambil sebilah pisau yang ada di ruang tamu sebelum
mencederakan mangsa dalam pergelutan itu," katanya kepada pemberita pada
sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Mohd Adli berkata, hasil penahanan suspek, turut ditemui beberapa barangan
milik mangsa dilaporkan hilang termasuk telefon bimbit, wang tunai dan
kelengkapan mekap.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek juga mendapati beberapa kesan
kecederaan di bahagian badannya.
"Kami juga masih mengesan pisau yang dipercayai digunakan dalam insiden itu
dan perintah tahanan reman akan dimohon esok bagi siasatan lanjut mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui
mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Lubok Batu, Telemong
di sini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Siti Nur Surya Ismail ditemui
tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15,
yang baru pulang dari sekolah.
Siti Nur Surya dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman dipercayai senjata
tajam di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Adik jumpa kakak mati, tangan putus sebelah ibu
Join our Telegram Channel