KUALA LUMPUR: Beliau bukan seorang ahli politik dan tidak pernah cenderung ke
arah itu, tokoh bank dan kini merupakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri
Zafrul Tengku Aziz tekad untuk kekal sebagai seorang ahli teknokrat dan akan
terus memastikan kehidupan dan mata pencarian rakyat negara ini dilindungi
terutama dalam situasi penularan pandemik kesihatan pada masa ini.
"Saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti politikpun dan sebagai
mana yang anda tahu, pada masa ini saya bukan ahli mana-mana pihak," kata
beliau ketika ditanya sekiranya beliau berminat untuk menyertai politik dan
seterusnya menjadi wakil rakyat.
Ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan untuk merancakkan ekonomi dan
itulah fokus utama sekarang, kata beliau.
"Saya ingin memberi tumpuan bagaimana saya boleh membantu Malaysia memerangi
COVID-19 dan meningkatkan kedudukan ekonomi kita. Jadi, fokus saya sekarang
ialah terhadap ekonomi," kata Tengku Zafrul kepada Bernama dalam satu temu
bual baru-baru ini.
"Oleh itu, buat masa ini, saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti
politik," kata beliau yang percaya akan kemampuannya dalam membangunkan
ekonomi negara yang terjejas oleh pandemik kesihatan tanpa perlu berpolitik.
Ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan penguncupan
-2.7 peratus pada suku ketiga 2020 berbanding -17.1 peratus pada suku kedua,
mengambil kira tempoh tujuh minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula
18 Mac yang dikuatkuasa bagi membendung penularan COVID-19.
Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai Senator pada 10 Mac, 2020 berikutan
pelantikannya sebagai Menteri Kewangan.
Kerajaan telah melonggarkan sekatan PKP pada 4 Mei dan perniagaan dibenarkan
menyambung operasi mengikut sektor dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang
ketat.
Berikutan itu, kadar pengangguran telah menurun kepada 4.6 peratus pada
September daripada 5.3 peratus pada Mei tahun ini.
Pelbagai pakej rangsangan juga telah diperkenalkan iaitu Pakej Rangsangan
Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin SME+, Pelan Jana Semula Ekonomi
Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin - keseluruhannya bernilai RM305 bilion
setakat ini.
Berasal dari dunia korporat, beliau baru-baru ini menerima kecaman ketika
mengumumkan beberapa inisiatif baharu semasa sesi ucapan penggulungan
Belanjawan 2021.
Mempertahankan tindakan itu, beliau berkata - mungkin dalam situasi luar
biasa, memerlukan langkah dan tindakan yang luar biasa juga.
Menerusi catatan di Facebook, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa inisiatif itu
bukan cadangannya tetapi datang daripada penggubal undang-undang itu sendiri
semasa sesi perbahasan di parlimen.
"Kesemua penambahbaikan yang diumumkan adalah hasil cadangan daripada
ahli-ahli Yang Berhormat (YB) sendiri -- baik daripada kerajaan mahupun pihak
pembangkang," kata beliau.
"Contohnya, cadangan untuk memanjangkan pemberian khas secara
'one-off' kepada petugas barisan hadapan yang diiktiraf di bawah Agensi
Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dibangkitkan oleh, antara lain, YB
Pontian, YB Ipoh Barat, YB Hulu Rajang dan YB Lembah Pantai - kesemuanya
daripada parti politik yang berbeza," kata Tengku Zafrul.
Keputusan untuk memanjangkan bantuan dibuat setelah mengambil kira
hujahan-hujahan di Parlimen seperti gelombang ke-3 COVID-19 yang kian menular
dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa
negeri.
Begitu juga penambahan pemberian program eBelia daripada RM50 kepada RM100,
dan perluasannya kepada 1.1 juta mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT)
dan IPT swasta.
"Tetapi dalam perkhabaran baik ini, saya ada pengakuan - kerajaan tidak mampu
menerima atau melaksanakan kesemua cadangan yang dibangkitkan."
"Seperti yang saya sebut ketika penggulungan tempoh hari, peranan kerajaan
adalah untuk sentiasa mengimbangi kepentingan-kepentingan yang pelbagai - baik
dari segi implikasi kos, memastikan penerima adalah yang benar-benar
memerlukannya, implikasi kepada pasaran atau penarafan ekosistem
perbendaharaan negara. Saya akui, ia bukan sesuatu yang mudah."
Join our Telegram Channel