GARIS panduan baharu lesen penjualan arak di Kuala Lumpur disifatkan akan
membawa Malaysia ke arah menjadi ‘negara Taliban’
Pengasas Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU) Siti Zabedah Kasim
berkata, langkah itu akan menjadikan Malaysia lebih teruk berbanding Pakistan,
negara Arab dan Nigeria.
“Negara ini bergerak menjadi negara Taliban. Ingat kata-kata saya. Orang-orang
ini mencabul hak kita satu persatu.
“Sekiranya anda tidak mengatakan apa-apa, tidak lama lagi kita akan menjadi
lebih teruk daripada Pakistan, dunia Arab atau bahkan Nigeria!” kata Siti
Kasim.
Peguam tersebut mengulas laporan berita bahawa DAP Wilayah Persekutuan akan
mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan
peraturan baru penjualan arak beralkohol tinggi (liquor) oleh Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam garis panduan yang dikeluarkan DBKL semalam, kedai serbaneka, kedai
runcit dan kedai ubat tradisional Cina tidak lagi dibenarkan menjual arak
kecuali bagi tujuan ubatan tradisional bermula 1 Oktober tahun depan.
Bir pula masih boleh dijual tetapi hanya dari jam tujuh pagi hingga sembilan
malam.
“Serius, apa yang dia orang jaki sangat mengenai penjualan alkohol di
kedai-kedai ni ah? Pasal pemandu mabuk? Kemalangan babit pemandu mabuk adalah
yang terendah di antara statistik yang diberikan.
“Jangan gunakan alasan yang tidak berasas ini untuk menghentikan hak orang
yang mahu dan boleh minum di negara ini! Kalau kau orang tak nak minum, botol
alkohol tu tak ada nak merayap kat kamu atau memanggil-manggil kamu suruh
beli.
“Ni mesti idea Islamofascists cuba perlahan-lahan melaksanakan cara mereka lah
ni … seperti apa yang telah mereka lakukan kepada semua pejabat kerajaan dan
sekolah kita … Tu sebab ramai orang Melayu dah tak boleh guna guna otak dia
lagi,” kata Siti Kasim.
DBKL dalam kenyataannya berkata, garis panduan dan syarat permohonan lesen itu
dibuat bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan
minuman beralkohol serta kawalan keselamatan, kesihatan warga kota.
Katanya, garis panduan dan syarat itu juga telah disemak dan dibuat
penambahbaikan melalui perbincangan dan permuafakatan bersama dengan
agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian
Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengikut garis panduan itu, premis perniagaan menjual minuman keras yang
memabukkan tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah
dan hospital.
Had masa penjualan ditetapkan mengikut kelas antaranya Rumah Awam Kelas 1
melibatkan Pub/ Bar/ Lounge/ Restoran dari 10.00 pagi hingga 12.00 malam.
Pemohonan lanjutan masa LMK (Liqour Yang Memabukkan) boleh dipohon berpandukan
had masa aktiviti hiburan atau ketetapan di zon pusat hiburan yang telah
diluluskan dan maksimum masa penjualan liqour adalah sehingga jam 2 pagi
sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN: Kedai runcit, serbaneka dilarang jual arak mulai Okt 2021
Join our Telegram Channel