![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhqB9ih2i644Vy5TBAloI-svhNfHfFNMMAtPy6tKJCYe-5DYL38evJOGedIG1xynOyhjiEjNortsYNEYH6vABVSidaOzQrbckDnQ1zC6hDF-oqJ1-OV5YGkfT1eUIYq_giYJ-3Ml0ZYQI3M/w640-h334/campak-cucu.webp)
KUALA LUMPUR: Seorang saksi kejadian budak maut dicampak dari tingkat 4 sebuah
pangsapuri di Danau Kota, Setapak, di sini pagi tadi, mendakwa mendengar bunyi
bising dan orang menjerit daripada unit kediaman di tingkat atas rumahnya.
Idayu Ismail, 24, berkata dia adalah antara saksi kejadian yang turut sama
membantu menyelamatkan seorang wanita daripada dirogol oleh bapa tirinya dalam
kejadian 7.40 pagi tadi.
"Mula-mula saya terdengar bunyi bising dan ada suara wanita menjerit meminta
pertolongan kemudian saya keluar dan lihat ada jiran lain menarik dan
menyelamatkan seorang wanita yang tinggal di tingkat atas kediaman saya.
"Pada masa itu wanita terbabit dalam keadaan berlumuran darah serta tidak
berpakaian di tangga hadapan rumah saya," katanya ketika ditemui BH selepas
polis merekod kenyataannya.
Katanya, dia dan keluarga menyelamatkan wanita itu namun tidak lama kemudian
Idayu melihat suspek juga dalam keadaan bogel membaling telefon pintar dari
tingkat atas.
"Suspek kemudian bertindak mencampak seorang budak lelaki berusia empat tahun
dari tingkat empat kediamannya menerusi tingkap rumah. Saya panik dan segera
menghubungi polis.
"Kanak-kanak yang dicampak itu memang kami kenali di kawasan kejiranan kami
sebagai Adam dan suspek adalah warga Nigeria yang juga dipercayai datuk tiri
kepadanya," katanya.
Idayu berkata, semua wanita tempatan yang tinggal bersama suspek dipercayai
adalah anak tirinya dan sebelum kejadian hari ini, tiada sebarang kejadian
pelik atau aneh pernah berlaku.
"Sebelum ini keluarga mereka tidak pernah bergaduh dan kerap turun ke tingkat
bawah pada waktu petang untuk beriadah," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten
Komisioner, Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, berkata suspek berusia 42 tahun itu
cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu namun
dihalang oleh isteri dan anak-anak yang lain.
"Anak tiri mangsa berusia antara 19 hingga 29 tahun itu cuba menghalang suspek
daripada merogol dan suspek mengamuk, memukul serta menghentak kesemua mangsa
yang ada dalam rumah berkenaan.
"Selepas itu isteri dan anak-anak tirinya cuba menyelamatkan diri dan keluar
daripada rumah untuk mendapatkan bantuan daripada jiran dan pengawal
keselamatan," katanya.
Nik Ros berkata, melihat mereka melarikan diri meminta pertolongan, suspek
berkemungkinan bertambah marah dan bertindak mengangkat mangsa, Muhammad Adam
Sufi, 4, dan kemudian membawa ke tepi tingkap luar bilik utama.
"Suspek kemudian mencampak Adam hingga jatuh ke bawah dan dia kemudian
melompat keluar menerusi tingkap sama
"Suspek yang mengalami kecederaan tidak dapat melarikan diri dan ditangkap
oleh pengawal keselamatan dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis,"
katanya.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg9CWNQDw_Fh3379Ijfpck7XT0gqlwvC0Rvd59AUfiYZFRQxW1ztM36iJtwIRWGQTtNSdyyd5SuEQl0JzALMWGg8g8K9QIexaY-nwqu_7rcs7OvcMCjkMWhAx6Evkwbfqh_4QLvKSv8ys2E/w480-h640/127199019_434695891251431_5079583680834364866_n.webp)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEheDgjgQ4PwfsPCvnHib8IXiapvg9IreD0lm9PghnYj_OD7maRlqlvlYDpXiTnhbyJ53tjc_McNVJXSVjjX290PBoywU-xsHLU0r1vgJJeDOeH1-rF1S7zHVvGho_zEnowdqZKGruy8H4o2/w640-h568/DFA4D581-5089-4F70-9B64-265C4B90CA47.webp)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEijjnDTMuh6MOuCdjSJlfpf-EcedSSFIQDcV2XqAwxp0ADeXXhOwLUPp-v-Y4wQUlMbRXTSyRwjbqZ1nAGxoywuQMHgHTKlwV1myrnZPFers1o90Lr75R8_6XM050omjhD4I_ZJh6Y_DZmD/w480-h640/128612347_2724977181096169_3679386964177346372_n.webp)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhuXc24kKbsJtIBF1WURDOISB6dmaqs-uwQMsa_WgB3YRlBqqUsnn61L-at3U4wRwdPbqdBavERXCnV0CrYX_bsLYs1xJDT_Kuz0-GePzxDEwdKXIzkC2lNc_duS0JgRfePT-FL5kyUPP6A/w640-h362/127283538_211106403758462_3113578632394066513_n.webp)
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg126UgI7WxU4Kn18m2gkpEkPiZWY4i33zekzSGsbPA1Vkkyav-VkntXGmqZXi1kbK7P57ZxYgdPstEKsR86HbyvXVO1uVPc7KAz3QjvKq5c4HKagDFQ6Hsd5_fswlG8fj5Qq8tX6rIeIKQ/w640-h640/128071570_1939796829495753_1055683780762025732_n.webp)
Join our Telegram Channel