
Melaka: Tindakan seorang wanita yang memakai gelang tangan merah jambu
mengunjungi sebuah pasar raya di bandar raya Melaka, di sini, semalam
menggemparkan orang ramai.
Wanita berusia 33 tahun itu yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah
sehingga Khamis ini didapati melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia
dengan keluar bersama saudara lelakinya untuk membeli-belah barangan keperluan
sambutan Deepavali.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata,
ketika kejadian, wanita yang juga pekerja sebuah kilang di Batu Berendam
menyorokkan gelang merah jambu yang dipakai di tangan kanannya bagi
mengelakkan status kesihatannya diketahui.
Bagaimanapun, katanya, gerak-geri wanita itu disedari beberapa orang awam
sebelum melaporkan kepada pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.
"Pengawal keselamatan itu mengarahkan wanita terbabit keluar dari premis dan
memintanya menunggu di hadapan pejabat pegawal keselamatan sebelum menghubungi
Balai Polis Batu Berendam.
"Sementara menunggu ketibaan polis, pengawal keselamatan itu menyoal siasat
wanita terbabit dan mendapati dia datang ke pasar raya berkenaan bersama
seorang saudara lelakinya sebelum dia diarah memanggil saudaranya itu,"
katanya.
Afzanizar berkata, setibanya polis di lokasi kejadian, wanita berkenaan
bersama lelaki itu diarah pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin sambil
diiringi kereta peronda polis bagi memastikan mereka sampai ke rumah.
Katanya, siasatan mendapati wanita itu adalah Orang Di Bawah Pengawasan (PUS)
dan tempoh kuarantin berakhir pada 12 November ini.
"Tiada tangkapan dibuat, bagaimanapun wanita itu sudah dimaklumkan untuk
menyerah diri ke balai polis selepas tamat tempoh kuarantin serta menunjukkan
keputusan ujian Covid-19 ke atasnya negatif.

Join our Telegram Channel