Sekumpulan ahli akar umbi PAS berkumpul di ibu pejabat parti hari ini untuk
mendesak pucuk pimpinan parti supaya menolak kerjasama bersama dalam gabungan
Perikatan Nasional (PN).
Mereka turut menuntut agar satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan
pendirian akar umbi berhubung kerjasama PAS bersama PN.
"Sejak sekian lama kami ingin meluahkan perasaan yang seolah-olah kami sedang
ditipu atau sedang dipaksa oleh segelintir kepimpinan untuk menerima dan
bersetuju berada di dalam PN.
"Setelah hampir sebulan menghubungi rakan-rakan di seluruh negara serta
membuat kajian secara rambang terutama pada akar umbi PAS, kami dapati
rata-rata akar umbi tidak setuju PAS berada di dalam gabungan PN.
"Mereka nyatakan jangan mengharapkan keuntungan jangka masa pendek akan tetapi
kerugian untuk jangka masa panjang," kata jurucakap kumpulan itu, Khairul
Anuar kepada pemberita di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Khairul mendakwa bahawa dia adalah ahli PAS dari Kedah, yang kini tinggal di
Putrajaya.
Menurutnya lagi, ahli akar umbi begitu terkilan dengan pendirian pusat
pimpinan.
"Sepatutnya, kerjasama PAS pada Mac 2020 bersama gabungan PN semasa krisis
politik negara hanya melibatkan ahli-ahli parlimen PAS sahaja.
"Namun, kini kepimpinan telah membawa parti ke dalam gabungan PN tanpa
persetujuan ahli.
"Maka, kami menuntut satu muktamar khas diadakan untuk membahaskan akan hal
ini," katanya sambil menambah bahawa PAS kini dilihat sebagai 'budak suruhan'
dalam gabungan PN.
Untuk rekod, PAS yang sebelum ini memeterai perjanjian kerjasama politik
dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) pada 2019, kemudian
secara rasmi mendaftar bersama gabungan PN melibatkan Bersatu dan beberapa
parti dari Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, Khairul mengetuai sekumpulan 20 ahli PAS menyerahkan memorandum
selepas tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan parti itu bersama
gabungan PN.
Mereka turut dilihat membawa sepanduk bertulis: "Akar umbi PAS penyokong PAS
tolak PN"
Join our Telegram Channel