PETALING JAYA: Seorang pendakwah selebriti yang sebelum ini direman 10 hari di
Mahkamah Shah Alam berhubung dakwaan kes merogol kenalan laman sosial
Instagramnya, direman lagi di Mahkamah Majistret atas dakwaan serupa.
Perintah reman selama lima hari terhadap suspek berumur 25 tahun itu yang
bermula hari ini dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Siti Mazrah Mohamad,
selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki itu.
Terdahulu, suspek yang merupakan bekas peserta program realiti agama tiba di
Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada 10.30 pagi dengan memakai baju lokap
ungu, berseluar oren dan tidak berkasut kemudian beredar meninggalkan mahkamah
pada 12.40 tengah hari.
Suspek sempat mengucapkan terima kasih kepada media yang hadir membuat liputan
kes yang dihadapinya serta turut meminta mendoakannya.
Peguam suspek, Syed Amirul Syed Edros yang ditemui selepas prosiding reman itu
memaklumkan anak guamnya direman sehingga 11 Dis ini.
“Anak guam saya belum disabitkan bersalah, dia direman untuk membantu siasatan
pihak polis. Hari ini, permohonan reman ke atas anak guam saya dibuat di bawah
Seksyen 376 Kanun Keseksaan (kesalahan rogol),” katanya.
Semalam, polis Petaling Jaya dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan
memulakan siasatan terhadap suspek atas laporan merogol, cabul dan seks luar
tabii yang dibuat terhadapnya.
Sebelum ini, media melaporkan polis Petaling Jaya menerima dua laporan polis
terhadap suspek dengan satu daripada laporan atas dakwaan merogol dan satu
lagi atas dakwaan cabul dan seks luar tabii.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel