PETALING JAYA – Seorang gadis yang pernah tular sebelum ini kerana mengalami
masalah berat badan mencecah hampir 300 kilogram (kg) tampil membuat
pendedahan dan tuntutan terhadap seorang jutawan kosmetik atas tuduhan
teraniaya dan dimanipulasi.
Gadis itu, Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Wani
Comel, 23, mendakwa dirinya seperti ditipu selepas tidak mendapat sebarang
faedah dan bayaran seperti yang dijanjikan.
Menurut Wani, dia telah didatangi seorang usahawan kosmetik sekitar Ogos tahun
lalu untuk melantik dirinya sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan
tetapi perlu menjalani pembedahan pada bahagian perut terlebih dahulu.
“Selepas menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada
Ogos 2019, saya telah didatangi pihak usahawan tersebut untuk menandatangani
kontrak.
“Bagaimanapun saya tidak diberitahu dengan jelas tentang kandungan kontrak
tersebut tanpa mengetahui isi kandungannya,” katanya ketika ditemui pada satu
sidang akhbar sebentar tadi.
Ujarnya lagi, selepas selesai menjalani pembedahan bariatrik tersebut, segala
urusan melibatkan rawatan susulan dilakukan sendiri olehnya tanpa diberikan
wang pembiayaan yang dijanjikan.
Tambah gadis berasal dari Jerantut, Pahang itu, segala rekod kesihatan selepas
dia menjalani pembedahan bagaimanapun dipegang pihak usahawan tersebut dan dia
tidak mengetahui status serta tindakan lanjut yang perlu dilakukan.
“Saya memikirkan soal keluarga kerana pihak usahawan itu telah berjanji akan
membantu saya dari segi kewangan.
“Bagaimanapun saya tidak menerima sebarang bentuk bantuan seperti yang telah
dijanjikan. Lebih menyedihkan apabila saya cuma menerima ‘upah’ kurang
daripada RM1,000 selepas terlibat dengan penghasilan kandungan video tentang
produk pelangsingan badan,” katanya.
Pada sidang akhbar tersebut, Wani turut memberitahu bahawa dia terpaksa
membuat laporan polis untuk menjamin keselamatan diri selepas didatangi wakil
usahawan itu dalam keadaan marah dan telah mengoyakkan kontrak yang telah
ditandatangani.
“Saya telah dimarahi hanya kerana telah menerima bantuan daripada pihak lain,”
ujarnya.
Tampil membuka mulut, Wani yang turut ditemani peguam, Haziq Aizuddin Subhi
berkata, dia ingin menuntut pampasan dan habuan yang telah dijanjikan selain
ingin membatalkan kontrak yang telah ditandatangani.
“Saya mengalami kemurungan disebabkan perkara tersebut selain turut dikecam
dan dicaci netizen dengan tuduhan tidak berasas.
“Ada yang menggelar saya sebagai tidak kenang budi, pemalas dan hanya
mengharapkan bantuan semata-mata,” katanya.
Saya dah lama bgtau dalam facebook saya yg saya buat bariatic pada @wani.chomel atas nasihat Dr......saya siap post pada...
Posted by Aliff Syukri Terlajak Laris on Friday, December 4, 2020
Join our Telegram Channel