IPOH: Pentadbiran Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, tumbang apabila
gagal memperoleh sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri,
apabila usul percaya terhadapnya diundi secara belah bahagi pagi tadi.
Dalam undian yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak,
Mohamad Zahir Abdul Khalid, hanya 10 ADUN menyokong kepimpinan Faizal,
berbanding 48 yang membantah dan 1 undi rosak.
Usul undi percaya terhadapnya dibawa Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf
Hashim, dari Umno.
DUN Perak terdiri daripada 24 ADUN Umno, empat PPBM, dan tiga PAS, dan
pembangkang iaitu 16 DAP, lima Amanah, dan tiga PKR.
Terdahulu, Manaf ketika membawakan usul berkenaan berkata, usul dibawa bagi
menentukan keabsahan kerajaan negeri yang selama ini didakwa pembangkang
sebagai “kerajaan pintu belakang”.
Bagi menidakkan dakwaan itu, beliau menegaskan pilihan raya perlu
dilaksanakan, tetapi dalam keadaan pandemik dan kewangan ketika ini,
penentuan sokongan secara belah bahagi di DUN Perak “langkah kedua paling
baik”.
“Mungkin orang akan berkata kenapa ahli politik perlu bermain politik dalam
keadaan sekarang, kerana rakyat ditimpa masalah Covid.
“Jawapan saya: Kita perlukan satu kepimpinan yang komited yang tidak
diragui, kepimpinan yang boleh bawa Perak bukan sahaja untuk hadapi Covid
ini tetapi juga untuk hadapi cabaran yang mendatang,” katanya.
Tegasnya, Perak memerlukan kerajaan yang tidak lagi dikatakan “kerajaan
pintu belakang”.
Manaf menafikan Umno bersekongkol dengan DAP menjatuhkan Faizal, yang juga
timbalan presiden PPBM. – FMT
Join our Telegram Channel