Khianat, gila kuasa, mungkin lepas ni Pas jadi mangsa Umno – Ahli MPT Bersatu



Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman menyifatkan tindakan Adun-adun Umno di Perak yang bersengkongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ahmad Faizal Azumu sebagai satu pengkhianatan.

Dia berkata tindakan itu hanya mencetuskan ketidakstabilan politik yang mampu memberikan tempias terhadap kerjasama antara Perikatan Nasional dan BN di peringkat pusat serta negeri yang lain.

“Secara peribadi saya melihat tindakan Adun-adun Umno di Perak yang bersengkongkol dengan pembangkang khususnya DAP untuk menumbangkan menteri besar kerajaan mereka sendiri sebagai khianat persepakatan dan gilakan kuasa politik ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi akibat wabak Covid-19.


“Ia tindakan mensabotaj dan tikam belakang ketika kerajaan sedang menghadapi saat getir untuk memulihkan negara.

“Ia juga menggambarkan bahawa ada sesetengah pemimpin dari Umno rela mengkhianati perpaduan ummah demi mahukan kuasa untuk puak mereka sahaja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, susulan perkembangan situasi Bersatu di Perak, tidak mustahil selepas ini PAS juga boleh menjadi mangsa politik Umno.

Pada sidang DUN Perak pagi tadi, Faizal yang juga Adun Chenderiang dan Timbalan Presiden Bersatu membuat keputusan akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar selepas gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi percaya yang diusulkan oleh Adun Pengkalan Baru, Abdul Manaf Hashimdari Umno.


Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. Manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Oleh itu, Faiz berkata budi bicara serta kebijaksanaan Sultan Perak amat diperlukan untuk menentukan sama ada wajar mandat kepimpinan negeri diserahkan kembali kepada rakyat melalui PRN atau baginda ada cara lain mengikut perlembagaan negeri Perak.

Bagaimanapun, katanya sama ada Bersatu akan menyertai kerajaan baru di Perak ataupun tidak, ia masih belum diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi parti. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram