KEMELUT antara persatuan seni dengan Pengerusi, Recording Performers Malaysia
(RPM) Datuk Sheila Majid masih tidak berkesudahan apabila Presiden, Persatuan
Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez merancang untuk bertemu
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan isu berkaitan
royalti artis.
Freddie, 67, berkata, ia adalah jalan terakhir yang akan dilakukan sekiranya
kemelut mengenai isu berkenaan tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
"Saya sudah lawan mengenai perkara ini selama 20 tahun dan ini kali terakhir
saya akan berusaha untuk menyelesaikannya, kalau saya gagal saya akan lompat
dalam laut.
"Baik Sheila (Datuk Sheila Majid) atau ahli perlu letak jawatan, get out! Jika
tidak, saya akan gunakan saluran untuk berjumpa dengan Perdana Menteri dan
menerangkan tentang masalah ini.
"Lagipun beliau (Muhyiddin) juga mempunyai seorang anak yang juga penyanyi, ”
kata Freddie kepada mStar.
Freddie ditemui pada sidang media berkenaan isu royalti artis di pejabat
Karyawan, di Petaling Jaya, pada Isnin.
Dalam pada itu, Freddie turut menggesa, Datuk Sheila Majid agar segera
meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi, Recording Performers Malaysia (RPM)
dan bertanggungjawab dalam kemelut ini.
Tambah Freddie, seramai 114 artis yang juga ahli RPM sudah menandatangi
petisyen agar penyanyi itu tidak memegang jawatannya.
“RPM macam tidak bermaya, jarang buat kenyataan kepada ahli tentang royalti.
Saya juga sudah 50 kali suruh Sheila letak jawatan.
“Namun, dia kata takkan buat apa-apa kenyataan sehingga penyiasatan SPRM habis
dan mungkin akan ambil masa hingga dua tahun, ” ujarnya.
Pada Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu empat
pejabat badan pengurusan royalti artis bagi memulakan siasatan berhubung isu
dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.
Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public
Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan
Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).
Join our Telegram Channel