
KUALA LUMPUR: Wang milik UMNO Bahagian Pekan (UMNO Pekan) dan Parti Rakyat
Bersatu Sarawak (SUPP) masing-masing berjumlah RM700,000 dan RM188,138.26 yang
sebelum ini disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah
diserahkan kepada kedua-dua parti itu.
Wang yang disita daripada UMNO Pekan dan SUPP, dikaitkan dengan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan didakwa dipindahkan daripada akaun bank bekas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Abdul Rashid Sulaiman memaklumkan perkara itu
kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh semasa prosiding
pengurusan kes semalam.
“Pihak bank sudah mengembalikan wang berjumlah RM700,000 kepada UMNO Pekan dan
wang RM188,138.26 kepada SUPP.
“Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik permohonan bagi penangguhan
pelaksanaan perintah mahkamah sebelum ini yang menolak permohonan kami bagi
melucut hak wang UMNO Pekan dan SUPP,” kata Abdul Rashid.
Ahmad Shahrir mengambil maklum perkara itu dan memutuskan untuk membatalkan
kedua-dua permohonan pihak pendakwaan berkenaan.
Pihak pendakwaan memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah
mahkamah pada Oktober lalu, dengan menamakan UMNO Pekan dan 40 individu lain
sebagai responden, termasuk Najib serta anaknya Datuk Mohd Nizar, yang
merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, sementara permohonan bagi SUPP
difailkan pada September lalu.
SPRM gagal buktikan wang dari hasil aktiviti haram
Pada 17 September lalu, Ahmad Shahrir menolak permohonan pihak pendakwaan
untuk melucut hak wang UMNO Pekan, selepas mendapati SPRM selaku pemohon gagal
membuktikan bahawa wang RM700,000 yang disita itu, adalah hasil daripada
aktiviti haram.
Dalam penghakimannya, Ahmad Shahrir antara lain berkata kesemua responden
menyatakan jumlah RM700,000 telah digunakan untuk perbelanjaan utiliti,
pembelian peralatan dan pembayaran lain untuk UMNO Pekan dan baki dalam akaun
UMNO Pekan tidak berasal daripada akaun Najib yang dibekukan.
Semasa keputusan permohonan pendakwaan melucut hak wang RM188,138.26 daripada
SUPP pada 19 Ogos lalu, Ahmad Shahrir menolak permohonan itu setelah mendapati
SPRM tidak mengemukakan keterangan mencukupi bagi menyokong permohonannya bagi
mahkamah mengeluarkan perintah untuk membenarkan pelucutanhak itu.
Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini
berkata, permohonan pelucutan hak mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang
Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah difailkan terhadap 41
responden, untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai
kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib.
Sementara itu, Abdul Rashid ketika ditemui berkata, rayuan yang difailkan
pihak pendakwaan terhadap kedua-dua keputusan itu di Mahkamah Rayuan masih
diteruskan, bagaimanapun tarikh pendengaran rayuan belum ditetapkan. – Mkini
Join our Telegram Channel