SHAH ALAM – UMNO Selangor mengambil kata putus untuk tetap melawan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya parti itu bertegas meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen yang merupakan kubu kuat UMNO.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO tiada pilihan lain sekiranya Bersatu tetap berdegil untuk meletakkan calon di kawasan yang pernah dimenangi UMNO sebelum ini.
Menurutnya, UMNO sekali lagi mengulangi pendirian hanya mengiktiraf Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai dengan Pas sebelum ini.
“Kita di Selangor berpegang kuat kepada prinsip tetap akan bersama dengan Pas dan pendirian kita jelas bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan dengan parti itu.
“Saya sudah sampaikan hasrat ini kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar tidak sesekali membenarkan UMNO dan Pas bertembung di Selangor. Bagaimanapun jika dengan Bersatu, kita tiada pilihan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari berhubung Selangor tidak akan membenarkan parti yang kalah bertanding semula di kawasan yang sama pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.
Terdahulu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang ditemui pada majlis Dialog NGO-NGO Selangor 1.0 di Bangunan UMNO Selangor, Seksyen 14 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noh meminta Abdul Rashid membuat kajian terperinci di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang pernah dimenangi parti itu pada PRU-14 lalu.
“Mereka kena kaji dan tengok PDM yang dimenangi sama ada menang di kawasan yang majoriti pengundi Melayu, campuran atau bukan Melayu. Jika dahulu mungkin boleh menang sebab guna tiket PKR namun sekarang belum tentu.
“Jika sesebuah DUN atau parlimen itu lebih besar peluangnya kepada UMNO, lebih baik bagi pada UMNO untuk bertanding dan jangan sesekali pandang rendah kepada kekuatan UMNO,” ujarnya.
Join our Telegram Channel