PETALING JAYA: Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim berkata, hubungan setiakawan
Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) akan “putus” jika parti sepihan PAS itu
bersetuju membenarkan Pejuang yang diketuai Dr Mahathir Mohamad menggunakan
logo mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata, jika itu keputusan Amanah
maka secara automatik dalam PRU akan datang PH akan diwakili PKR dan DAP dalam
menghadapi Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).
“Amanah berisiko hilang masa depan politik dan hilang semua kerusi yang
ditandingi jika mereka menggunakan logo Amanah yang tidak dikenali rakyat.
“Secara logiknya Amanah bakal “menempah maut” ditelan oleh BN-PN di kerusi
yang ditandingi mereka.
“Kita hairan bagaimana Amanah sanggup memperjudikan masa depannya hanya untuk
membenarkan Mahathir dan pemimpin Pejuang ‘mempergunakan’ pentas parti itu.
“Pemimpin Amanah turut ‘dikhianati’ Mahathir apabila beliau meletak jawatan
perdana menteri tahun lalu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, langkah Amanah mahu menggunakan logo sendiri bersama Pejuang
akan merugikan PH kerana bakal kehilangan 15-20 kerusi yang dimenangi parti
itu dalam pilihan raya lalu.
Abdul Razak berkata, jika Amanah mahu kekal releven ia perlu melupakan hasrat
membenarkan kumpulan Mahathir mengunakan logo mereka.
Katanya, Amanah perlu fokus untuk kekal dalam gabungan PH dengan menggunakan
satu lambang, sekali gus memperkuat jenteranya bagi merampas kerusi yang
dimenangi PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Pada PRU lalu Amanah memenangi 11 kerusi Parlimen mewakili PH dengan
menggunakan logo PKR.
Bantahan sama dibuat bendahari Otai Reformis, Ronnie Liu yang berkata,
keputusan Amanah menerima kumpulan Mahathir menyebabkan PH bakal kehilangan
keyakinan dalam kalangan penyokong sendiri.
“Mahathir akan menyebabkan PH kehilangan sokongan walaupun daripada penyokong
sendri.
“Jika Amanah mengizinkan Pejuang menggunakan logo mereka, ini bermakna PH
tidak bersatu, ia akan memberi kesan buruk kepada Amanah dan PH,”katanya yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, di Selangor.
Sementara itu, pengerusi Otai Reformis, Idris Ahmad berkata, Amanah sepatutnya
fokus untuk memperkuatkan PH tanpa perlu bekerjasama dengan kumpulan Mahathir.
“Tidak perlu Pejuang, mereka sudah lemah dan nak cari dahan untuk bergayut.
Kena hati-hati dengan rancangan mereka, jangan percaya Mahathir,” katanya yang
juga merupakan Adun Ijok.
Terdahulu timbalan presiden protem Pejuang
Marzuki Yahya mengesahkan parti itu mungkin bertanding pada pilihan raya umum 15 dengan
menggunakan logo Amanah jika pendaftarannya tidak diluluskan oleh Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel