Sepanduk undur Zahid tak sihat, tak beradab – Tok Mat



Saya telah melihat kemunculan budaya yang tidak sihat dalam UMNO kebelakangan ini dalam cara kita mendesak pengunduran Presiden parti.

Pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut. Ini bukan budaya dan nilai UMNO. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu.

Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar di santuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya.

Kita boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana UMNO itu nilainya demokratik, tetapi jangan lah sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan UMNO.


Pepatah Melayu berpesan, "Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab".

Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam UMNO dengan saling mendamaikan antara satu sama lain.

Sedikit bibit perpecahan antara kita, akan memberi peluang kepada lawan kita untuk meretakkan UMNO dengan sebesar-besar keretakan dan perpecahan.

Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam UMNO di adu dumba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.


Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan UMNO dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa.

Kekuathiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban ialah UMNO dan bangsa Melayu.

Justeru untuk kesekian kalinya saya titipkan hikmah Melayu yang berbunyi, ..."antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang akan kenyang"...

Saya menyeru kita semua bangunkan era baru untuk UMNO dengan kesatuan dan muafakat.

"Serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk".


Era di mana perbezaan kita diuruskan dengan sopan, berhikmah dan melalui jalan yang disepakati.

Era di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan Demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.

Dan akhirnya, era dimana UMNO dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat Malaysia dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan.

Insha Allah....

Dato Seri Utama
Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

 

Join our Telegram Channel
Telegram