Yangon: Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi didakwa di mahkamah negara itu, dua
hari selepas tentera melakukan rampasan kuasa.
Pada Rabu, Suu Kyi, 75, didakwa atas kesalahan mengikut undang-undang import
dan eksport.
Mahkamah turut membenarkan tahan reman selama dua minggu kepada pemimpin
berkenaan.
Berdasarkan dokumen pertuduhan polis yang dibocorkan kepada pemberita,
pertuduhan luar biasa itu selepas polis menyerbu rumah Suu Kyi dan menemui
beberapa walkie-talkie.
Selain itu, Presiden negara itu, Win Myint yang sebelum ini turut ditahan
turut didakwa atas pertuduhan luar biasa mengikut undang-undang pengurusan
bencana berhubung menyalahi peraturan mengenai Covid-19 kerana didakwa bertemu
pengundi ketika berkempen pada pilihan raya.
Dalam pada itu, tiada rusuhan berlaku susulan rampasan kuasa itu memandangkan
askar dan kenderaan tentera mengawal jalan di bandar utama negara itu.
Bagaimanapun, tanda-tanda kemarahan rakyat sudah dapat dilihat apabila doktor
dan petugas kelihatan memakai riben berwarna merah dan tidak melakukan tugas
yang bukan kecemasan sebagai protes terhadap rampasan kuasa berkenaan.
"Kami hanya menerima kerajaan yang kami pilih," kata Aung San Min, ketua
sebuah hospital dengan 100 katil di daerah Gangaw.
Beberapa pasukan perubatan memuat naik di media sosial, gambar mereka memakai
riben berwarna merah dengan tabik tiga jari, simbol protes, yang ditunjukkan
oleh aktivis demokrasi di Thailand, sebelum ini.
"Protes saya bermula hari ini dengan tidak pergi ke hospital.. saya tidak mahu
bekerja di bawah pemerintahan diktator," kata Nor Nor Wint Wah, doktor di
Mandalay.
Aktivis juga melancarkan kempen di Facebook yang sudah mempunyai 150,000
pengikut dalam tempoh 24 jam selepas dilancarkan.
Sebagai tanda protes, penduduk mengetuk objek termasuk periuk dan kuali, dan
membunyikan hon kenderaan di seluruh daerah komersial di Yangon, pada malam
Rabu.
Join our Telegram Channel