PETALING JAYA – Tindakan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas yang membuat
rujukan dan komen mengenai pelbagai isu negara sepanjang memegang jawatan itu
dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness” disifatkan
bertentangan dan melanggar sumpah jawatan tersebut.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai bekas Peguam
Negara, Thomas bertanggungjawab menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada
setiap masa walaupun jawatan itu tidak lagi disandangnya.
“Adalah menjadi teras utama dalam jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat
yang diperoleh mana-mana pegawai diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’,
‘Rahsia’ atau ‘Sulit, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya
dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan ‘pelaris’ buku yang mengetengahkan
pandangan dan bukan fakta.
“Memoir itu sendiri menggambarkan Thomas sebagai seorang individu yang tidak
boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap
dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid mendakwa, pandangan dan kenyataan Thomas mengenai peristiwa 13 Mei
1969 dalam bukunya adalah tidak bertanggungjawab dan dibuat tanpa mengira
sensitiviti peristiwa itu kepada masyarakat negara ini, selain tuduhan yang
bertujuan merendahkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
Selain itu, Thomas bukan saja didakwa memperlekeh Timbalan Pendakwa Raya,
malah seluruh Jabatan Peguam Negara yang pernah diterajuinya, sekali gus boleh
mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap keupayaan serta kebolehan
pegawai jabatan berkenaan.
“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan
dan faedah pencen adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab terutama
apabila ia datang daripada Ketua Jabatan itu,”katanya.
Beliau berkata, buku itu juga menyentuh mengenai keputusan yang dibuat Thomas
ketika menjadi Peguam Negara, antaranya kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam
(LTTE) dan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Keputusannya dalam kes LTTE hanyalah berdasarkan kepada tunjuk arah bahawa
LTTE sudah tidak aktif sejak 2009. LTTE masih sebuah organisasi pengganas dan
sebarang usaha untuk mengumpul dana bagi organisasi ini adalah menyalahi Kanun
Keseksaan.
“Selain itu, keputusan Thomas untuk tidak menuduh sesiapa dalam kes Adib juga
didapati salah oleh Mahkamah Koroner yang menyatakan bahawa kematian Adib
disebabkan oleh dua orang atau lebih.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kenapa Tommy tak tulis pasal gugur kes Guan Eng, dakwa musuh politik Dr M? tanya Najib
- Tommy Thomas dedah Dr M, Guan Eng, IGP tak layan cadangan untuk tangkap Jho Low
- Tuduh bunuh Altantuya, Najib tuntut Tommy tarik balik dakwaan, tuntut ganti rugi RM10 juta
- Tommy Thomas disiasat kerana memfitnah
- Tommy langgar sumpah – Ahmad Zahid
- UMNO lapor polis buku Tommy Thomas
Join our Telegram Channel