KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengerahkan
kira-kira 122 anggota dan pegawai penguatkuasanya untuk mencari dan menangkap
usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai
Nur Sajat.
Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, tindakan itu dilakukan
selepas pihaknya mendapat waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah di
sini, petang semalam.
Ia susulan kegagalan Muhammad Sajjad, 36, menghadiri prosiding kes berpakaian
wanita tiga tahun lalu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, Selasa lalu.
“JAIS mendapat waran tangkap ke atas Sajjad petang semalam, jadi hari ini kita
menggerakkan anggota dan pegawai penguatkuasa kita untuk mencari Sajjad di
seluruh Selangor,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap
terhadap usahawan kosmetik itu atas tuduhan berpakaian seperti wanita sehingga
menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad itu dikeluarkan Hakim Syarie, Mohammad
Khalid Shaee @ Shaii.
Pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi
Syariah di sini atas tuduhan berpakaian menyerupai wanita dalam majlis bacaan
Yasin dan solat hajat kira-kira pukul 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis
kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau
penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit
kesalahan.
Ditanya tentang perkembagan pencarian Muhammad Sajjad, Mohd Shahzihan
bagaimanapun berkata, ketika ini pihaknya belum menemui mahupun membuat
sebarang tangkapan terhadap Muhammad Sajjad.
Join our Telegram Channel