PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam
bulan dan serta denda RM30,000 yang dijatuhkan ke atas bekas ketua Pemuda
PKR Ampang Adam Rosly Abdullah kerana memberikan pernyataan dan dokumen
palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Panel tiga hakim terdiri daripada Yaacob Md Sam, P Ravinthran dan Ahmad
Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Adam Rosly,
semalam.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 April 2018
yang menjatuhkan hukuman itu selepas mendapatinya bersalah atas enam
pertuduhan memberikan pernyataan dan dokumen palsu kepada SPRM semasa
siasatan pada 2017 berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.
Yaacob, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata sabitan
ke atas Adam Rosly adalah selamat serta disokong oleh bukti yang kukuh.
Beliau turut mengeluarkan waran komital terhadap Adam Rosly, 33, bagi
membolehkan hukuman penjara terhadapnya berkuat kuasa mulai semalam.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan
palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam
mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan,
pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung
Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu
mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada ah long.
Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, dia dituduh menggunakan suatu
dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua
individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding
Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen
89 akta yang sama.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6,
Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 9 pagi
dan 12.15 tengah hari 10 Feb 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang 22 Feb
tahun sama.
Kesemua pertuduhan memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan
denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 26 Nov 2019, dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi.
Semalam, Mahkamah Rayuan menyambung prosiding rayuan itu dengan mendengar
hujah Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke yang menyebut bahawa kesalahan
Adam Rosly adalah serius.
Beliau berkata kesalahan yang dilakukan itu bukan isu remeh dan tidak
mewajarkan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik atau sekadar denda
dikenakan ke atas Adam Rosly.
Pada 9 Dis tahun lepas, mahkamah telah mendengar hujah peguam Muhammad
Fadhli Mat Sutris yang mewakili Adam Rosly.
Beliau berhujah bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa pernyataan
yang diberikan anak guamnya adalah palsu. – FMT
Join our Telegram Channel