PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan akhirnya meleraikan
spekulasi berhubung status perkahwinannya selepas mengaku telah berkahwin
dengan seorang jejaka yang juga ahli perniagaan Siew Jim berusia 30 tahun
semalam.
Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, 28, turut memohon maaf apabila berita
tersebut tular sebelum sempat mengeluarkan kenyataan rasmi sendiri.
“Saya memang rancang nak umum kepada semua apabila sudah bersedia. Saya ambil
keputusan untuk tidak menghebohkan hal perkahwinan kerana merasakan ini adalah
isu kecil sahaja.
“Mengenai gambar dan video yang tersebar menyatakan saya sudah berkahwin
adalah benar. Majlis semalam (Sabtu) adalah bersifat intimate (peribadi) dan
kecil sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya
menerusi satu kenyataan ringkas kepada media.
Tambah pelantun lagu Knock-Knock dan Semua Sudah itu, dia berpendapat
perkahwinan merupakan satu perkara yang berbentuk peribadi.
“Sekali lagi, saya minta maaf kerana tidak dapat menjemput ahli keluarga lain,
media dan rakan-rakan terdekat.
“Bagi saya, memilih untuk berkahwin ini tidak mengubah apa-apa pun. Saya masih
orang yang sama. Saya harap semua dapat terima dan hormat keputusan ini,”
tambahnya.
Difahamkan, majlis perkahwinan tersebut diadakan di sebuah gereja di Gombak,
Selangor dan dihadiri seramai 10 orang ahli keluarga terdekat.
Sejak pagi tadi, spekulasi perkahwinan pelakon filem Misteri Dilaila itu
tiba-tiba tercetus berikutan tular beberapa keping foto majlis perkahwinannya
dalam laman sosial.
Lebih menguatkan keyakinan khalayak, beberapa keping foto majlis perkahwinan
selebriti itu dikongsikan sendiri oleh seorang pengguna Facebook bernama David
Tan Suan Chew yang difahamkan bapa kepada Elizabeth Tan.
![]() |
Lizzy dikahwinkan bapanya sendiri pada majlis serba ringkas semalam. |
Join our Telegram Channel