Bersatu akan membincangkan hubungannya dengan Umno petang ini, maklum
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.
Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut
dibincangkan.
Ini selepas
Umno menghantar surat, mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu akan berakhir sebaik sahaja
pilihan raya ke-15 bermula.
Hamzah Zainudin berkata mesyuarat majlis tertinggi PN bersama pemimpin dari
PAS, Star, SAPP, dan Gerakan akan datang juga akan membincangkan perkara ini.
"Sehubungan itu, Biro Politik Bersatu mengambil ketetapan bahawa pendirian
Bersatu akan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada
petang ini, 4 Mac 2021 (Khamis) dan pendirian tersebut akan dibincangkan juga
dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional akan datang," katanya.
Pada masa ini Umno mempunyai lapan menteri dalam kabinet PN, serta ramai
pemimpin dan ahli parlimen Umno memegang jawatan dalam agensi kerajaan dan
GLC.
Hamzah pada kenyataannya pagi ini, mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid
Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.
Dia juga mengesahkan Majlis Tertinggi Umno telah membuat keputusan untuk
memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam mesyuaratnya di Janda Baik, Pahang
pada 19 Februari.
Kata Hamzah, Biro Politik Bersatu mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi
Umno mengenai dua perkara utama.
"Pertama, tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
"Kedua, kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan
sehingga pembubaran parlimen," katanya.
Menjelaskan keputusan MT Umno itu, Zahid Hamidi bagaimanapun berkata,
keputusan akhir perlu mendapat perakuan kepimpinan tinggi menerusi perhimpunan
agung Umno (PAU), yang sepatutnya diadakan pada 31 Jan.
Bagaimanapun, Umno terpaksa menangguhkan PAU susulan pelaksanaan semula
perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam negara.
Bekas setiausaha agung Umno dan BN, Annuar Musa berkata Umno akan rugi jika
tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan kelak.
Annuar yang juga menteri kabinet PN menjelaskan dari tarikh pembubaran
sehingga hari mengundi PRU15 di adakan, Umno tidak berada dalam caretaker
government (kerajaan sementara).
Join our Telegram Channel