Kuala Lumpur: Lelaki bergelar Datuk Seri akan didakwa atas pertuduhan
mencabul anak kandungnya selama lebih 10 tahun.
Perbuatan jijik lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar apabila anak
perempuannya yang berusia 20 tahun nekad membuat laporan polis pada 14
Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bertindak
atas laporan itu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) segera menjalankan siasatan.
Bagaimanapun, menurutnya siasatan mengambil masa untuk dilengkapkan
berikutan kejadian cabul berlaku dalam jangka masa yang panjang.
"Hasil siasatan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pandangan
dan nasihat. TPR memberi arahan kepada polis untuk mengambil beberapa
tindakan bagi melengkapkan siasatan.
"Pada 25 Februari lalu, kertas siasatan itu dirujuk semula kepada TPR
selepas mengambil tindakan diarahkan.
"Semalam, polis menerima arahan untuk pertuduhan oleh Jabatan Peguam Negara
mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya dalam
kenyataan hari ini.
Saiful berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur pada 23 Mac ini
memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan.
Justeru, katanya, laporan sebuah media yang mengatakan pihak pendakwaan dan
polis mengambil masa lama untuk menuduh suspek adalah tidak tepat.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu perlu dirujuk kepada TPR beberapa
kali memandangkan kes berlaku sejak 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memohon Perintah
Perlindungan (PO) selepas pertuduhan dilaksanakan bagi melindungi mangsa dan
adik-beradik lain daripada sebarang gangguan oleh suspek.
"Sebelum ini, mangsa menolak untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Interim
(IPO) kerana ia hanya untuk dirinya saja tapi dia mahukan adik-beradik juga
dilindungi," katanya. – Hmetro
Join our Telegram Channel