Majlis Ulama dakwa vaksin Covid-19 ada unsur babi, AstraZeneca nafi



JAKARTA: AstraZeneca hari ini menyatakan vaksin COVID-19 tidak mengandungi ramuan yang berasal dari babi, susulan kenyataan di Indonesia, negara Muslim paling ramai di dunia, vaksin terbabit melanggar undang-undang Islam.

Majlis ulama tertinggi di Indonesia, Majlis Ulama Indonesia (MUI), di laman webnya Jumaat lalu menyatakan bahawa bahawa vaksin itu 'haram' kerana proses pembuatannya menggunakan "trypsin dari pankreas babi".

Bagaimanapun, majlis meluluskan vaksin AstraZeneca untuk digunakan memandangkan keadaan darurat pandemik.

Namun, jurucakap AstraZeneca Indonesia, Rizman Abudaeri, dalam satu kenyataan berkata: "Pada semua tahap proses pengeluaran, vaksin vektor virus ini tidak menggunakan atau bersentuhan dengan produk yang berasal dari babi atau produk haiwan lain."


Majlis dan agensi makanan dan ubat negara itu tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk memberi komen.

Pihak berkuasa Indonesia Jumaat lalu meluluskan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas meneliti laporan bahawa ia menyebabkan pembekuan darah di antara beberapa penerima di Eropah.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, berkata kerajaan Indonesia akan mula mengedarkan vaksin AstraZeneca mulai minggu depan untuk menyokong program pelalian nasional.

"Minggu hadapan, kami akan mula mengedarkan vaksin AstraZeneca," katanya pada sidang media dalam talian yang diadakan oleh Jawatankuasa Pengendalian COVID-19 dan Pemulihan Ekonomi Jumaat lalu.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menangguhkan pengedaran vaksin COVID-19 AstraZeneca berikutan laporan mengenai kesan sampingannya.


Dengan hasil kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Badan Mengawal Selia Produk Ubat-ubatan dan Kesihatan Britain (MHRA) dan Pihak Berkuasa Ubat-Ubatan Eropah (EMA) yang menunjukkan bahawa vaksin itu selamat untuk digunakan, kerajaan kini memutuskan untuk memulakan semula pengedaran vaksin AstraZeneca.

"InsyaAllah, kami akan mula mengedarkan dan menggunakan vaksin AstraZeneca minggu depan. Kementerian Kesihatan, Agensi Kawalan Ubatan dan Makanan (BPOM), dan MUI akan segera mengeluarkan panduan mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca," kata Sadikin.

MHRA juga telah melaporkan hasil penilaian beberapa kejadian pembentukan darah beku terhadap individu yang menerima vaksin AstraZeneca di United Kingdom.

Agensi itu berkata, manfaat vaksin AstraZeneca untuk mencegah COVID-19 melebihi risiko dan mengesyorkan penggunaannya.

Indonesia menerima 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca di bawah kemudahan COVAX pada 8 Mac lalu, inisiatif global yang bertujuan bagi memberikan akses yang adil vaksin COVID-19. – Agensi

 

Join our Telegram Channel
Telegram