PETALING JAYA: Mokhzani Mahathir dinamakan pengerusi syarikat gergasi
telekomunikasi, Maxis Berhad.
Beliau akan mengambil alih jawatan itu bulan depan selepas penyandang, Raja
Arshad Raja Tun Uda, berundur pada 22 April nanti.
Arshad ialah pengerusi Maxis sejak 2009.
Mokhzani, anak bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, sudah beberapa
tahun menganggotai lembaga pengarah Maxis.
Mokhzani kini ialah pengarah bebas kanan lembaga pengarah, tetapi akan
melepaskan jawatan itu pada 22 April nanti.
Raja Arshad akan terus berkhidmat sebagai pengarah bebas bukan eksekutif.
Raja Arshad dalam kenyataan berkata, Mokhzani ialah pemimpin korporat dan
usahawan berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam industri
telekomunikasi.
“Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan daripada semua warga
Maxis, syarikat akan terus berkembang di bawah kepimpinannya.”
Mokhzani, ahli perniagaan dan eksekutif korporat terkenal, ialah pengasas
Kencana Petroleum Bhd yang diterajuinya sehingga menyaksikan penggabungan
RM11.8 bilion dengan SapuraCrest Petroelum Bhd dan SapuraKencana Petroleum
menjadi penyedia perkhidmatan minyak terbesar negara.
SapuraKencana Petroleum kini dikenali sebagai Sapura Energy.
Join our Telegram Channel