ARAU: Selepas Kangar, Pemuda UMNO Arau pula tampil menyokong penuh keputusan
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sebelum ini yang menolak kerjasama
dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15).
Keputusan tersebut sekali gus memberi tamparan kepada Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri
Shahidan Kassim yang sebelum ini menegaskan pendirian bahawa UMNO Perlis akan
terus bekerjasama dengan Bersatu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, keputusan
MKT UMNO mengumumkan penamatan kerjasama dengan Bersatu disifatkan cukup bijak
dan kena pada masanya.
“Pemuda UMNO Arau menghayati sepenuhnya lafaz semangat yang dizahirkan oleh
pemimpin-pemimpin tersebut sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas
dalam PRU-14, bahawa UMNO akan bangkit kembali dengan lebih kuat dan bertenaga
untuk menakhodai kepimpinan negara.
“Malah, UMNO akan membina kembali kemapanan dan daya saing ekonomi, mendengar
rintihan dan mengembalikan inisiatif-inisiatif kebajikan kepada warga marhaen
serta mempertahankan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak
keistimewaan Melayu yang banyak diremehkan selepas kekalahan BN dalam pilihan
raya lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, UMNO Bahagian Kangar turut menetapkan pendirian sama untuk
berpegang teguh dengan keputusan MKT parti itu sebelum ini bahawa tiada
kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.
Bagaimanapun sebelum itu, Shahidan menegaskan UMNO Perlis jelas dengan
pendirian terus bekerjasama dengan parti-parti bumiputera termasuk Bersatu
dalam menghadapi PRU-15.
Malah kata Shahidan, keputusan tersebut bukan disebabkan beliau semata-mata
sebaliknya keputusan mesyuarat bahagian-bahagian di Perlis iaitu bekerjasama
dengan semua parti-parti politik bumiputera.
Sementara itu, Syed Atif yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO turut
menzahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir pimpinan parti yang berusaha
mengenepikan keputusan MKT berhubung soal penamatan kerjasama dengan Bersatu.
Beliau juga menzahirkan rasa hairan apabila mereka tiba-tiba berubah nada
daripada pendekar dan panglima yang meniup semangat keperwiraan kepada
gerombolan laskar yang ingin menuntut bela terhadap pengecut kini menikus
kepada pihak yang cuba meracun UMNO.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel