PETALING JAYA – Serbuan ke kediaman usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat atau
nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, telah dilakukan pihak
berkuasa semalam bagaimanapun usahawan tersebut gagal ditemui.
Menurut sumber, serbuan telah dilakukan sekitar pukul 9 malam di kediaman
usahawan itu di Seksyen 10, Kota Damansara.
“Ketika serbuan, hanya terdapat beberapa individu termasuk bapanya, Kamaruz
Zaman Harun, 68, pembantu rumah dan dua kanak-kanak disyaki anak angkatnya
dalam kediaman berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan di seluruh kediaman itu bagaimanapun Nur
Sajat gagal dijumpai,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Nur Sajat seolah-olah memerli Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) apabila memberitahu masih tiada orang mengetuk pintu rumah
untuk menangkapnya.
Perbuatan itu dilakukan selepas JAIS memaklumkan sedang memburu Sajat selepas
waran tangkap kepadanya dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa lalu.
Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah di hadapan Mohammad Khalid
atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan Agama Islam
dipandang hina dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat.
Kesalahan itu dilakukan di Nursajat Beauticion, Seksyen 16 di sini pada pukul
7.30 malam, 23 Februari lalu.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga
tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Selangor ) 1995.
Nur Sajat kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM3,000.
Join our Telegram Channel