Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menimbulkan persoalan mengenai beberapa
hujah mempertahankan keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier
Jayakumar keluar PKR dan menyokong Perikatan Nasional (PN).
Secara khusus, dia menyoal pihak yang mendakwa Xavier melompat parti kerana
tekanan dan ancaman sebagaimana dakwaan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Ahli
Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.
Sivarasa mendakwa Xavier tidak akan berpaling tadah jika tidak kerana
"siasatan terpilih" oleh SPRM, manakala Chua berkata PN menggunakan ancaman
untuk terus berkuasa.
"Kalau kita pun seperti kawan-kawannya (Xavier) Sivarasa dan Tian Chua yang
seakan tak percaya alasan dikemukakan Xavier, maka timbul persoalan yang
kita boleh fikirkan jawapannya sendiri.
"Andai benar dia tidak bersalah, 'ugut' macam mana pun, kenapa perlu lompat?
"Sekarang dah lompat, adakah siasatan terus dihentikan?" soalnya pada
hantaran di Facebook malam tadi.
Bulan lalu, SPRM menangkap "kenalan keluarga" Xavier, MA Thinagaran.
Siasatan terhadap Thinagaran didakwa berkenaan projek kerajaan di Perak yang
dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
SPRM juga dilaporkan telah menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan
beberapa kenalannya berhubung kes yang sedang berlangsung.
Xavier sendiri menjadi subjek siasatan menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam
Baki.
Sebelum ini, SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan gabungan beberapa parti
politik bahawa suruhanjaya itu dijadikan sebagai 'senjata politik' dalam
melaksanakan tindakannya.
Xavier sendiri mendakwa tindakannya menyokong usaha kerajaan PN bertujuan
membendung wabak Covid-19, menciptakan peluang pekerjaan dan membangunkan
semula ekonomi.
Katanya lagi, sekurang-kurangnya 18 bulan diperlukan untuk melaksanakan
program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya.
Langkah Xavier menyokong PN menyusuli tindakan dua ahli parlimen PKR, Larry
Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) keluar parti pada tahun ini.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan
tiga MP PKR menyokong PN itu sekadar "strategi untuk menunda kejatuhan PN,
bukan memperkasakan" gabungan itu.
"Tiada pergerakan politik yang dibina dengan pendekatan tidak bermoral
sebegini akan mampu bertahan.
"Semua pergerakan politik hanya akan kukuh dan berkelangsungan dengan kerja
keras dan keyakinan pada nilai yang diperjuangkan.
"PN ditubuhkan tanpa ideologi dan kejelasan perjuangan dan sehingga waktu
ini Malaysia tidak menjadi lebih baik dari sewaktu diperintah oleh PH.
"Semua ini adalah ramuan untuk kegagalan yang pasti. Berapa lama un PN
berusaha untuk memanjangkan hayatnya, mereka akhirnya akan kembali kepada
rakyat juga untuk menentukan masa depan," katanya pada hantaran di Facebook
malam tadi.
Jelas Khaled, sangat tepat untuk BN menjauhkan diri daripada PN.
"Kerana BN ingin menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, bukan PN dan
sekutunya yang telah menjadi masalah kepada Malaysia," katanya lagi. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- SPRM tahan timbalan pengerusi PKR Perak
- Proksi Xavier Jayakumar ditahan, RM1.2 juta, kereta mewah dirampas
- Xavier Jayakumar umum keluar PKR serta-merta, sokong PN selepas proksi ditahan SPRM
- Tinggal PKR sokong PN, Xavier utamakan rakyat – Hamzah
- Selepas Xavier lompat, adakah siasatan dihentikan? – Shahril
Join our Telegram Channel